ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah
mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun
Razak di Putrajaya hari ini bagi membincangkan senarai anggota exco yang
baru negeri itu.
Beliau yang ditemui di kediamannya di sini mengesahkan pertemuannya dengan Perdana Menteri.
Ketika ditanya mengenai spekulasi kemungkinan menggantikan barisan exco
sedia ada, Ahmad Bashah memberitahu semuanya bergantung kepada
pertemuan itu.
"Segala-galanya bergantung kepada hasil perbincangan saya dengan
perdana menteri nanti. Boleh jadi saya kekalkan barisan exco yang sedia
ada dan ada kemungkinan juga satu dua muka baru akan muncul," katanya
seperti yang dilaporkan mStar Online.
Secara tradisi, di Kedah pertukaran menteri besar turut melibatkan rombakan kepada jawatan-jawatan exco kerajaan negeri.
Ahmad Bashah telah dilantik sebagai menteri besar Kedah yang ke-12, 4
Februari lalu mengantikan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir yang
melepaskan jawatannya sehari sebelum itu ekoran kehilangan sokongan
majoriti dalam Dewan Undangan Negeri.
Undian sulit dilakukan di hadapan ahli-ahli Jemaah Pemangku Sultan
Kedah kepada kesemua ahli dewan Barisan Nasional dan Pembangkang.
Jelas Ahmad Bashah, perubahan adalah perkara biasa dalam politik,
sambil menambah, tidak semestinya perubahan kepada jawatan menteri besar
bermakna seluruh anggota exco lama akan digugurkan.
"Secara konvensyennya di Kedah, setiap kali adanya perubahan ke atas
jawatan MB, Yang Dipertua Dewan akan menasihati agar anggota-anggota
exco turut mengangkat sumpah taat setia.
"Jadi ini bermakna secara langsungnya mereka akan mengangkat sumpah sebagai barisan exco yang baru, " jelas Ahmad Bashah.
Menurut beliau, mesyuarat exco tidak akan diadakan sehingga barisan exco baru mengangkat sumpah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan