PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan untuk mengekalkan
pembebasan suami kepada eksekutif pentadbiran TV9, Nur Syaleza Jaffar,
daripada tuduhan membunuh wanita itu empat tahun lalu.
Tiga panel yang terdiri daripada Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Tengku
Maimun Tuan Mat, Datuk Seri Zakaria Sam dan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk
Kamardin Hashim sebulat suara memutuskan keputusan itu.
Mahkamah membuat keputusan itu selepas menolak rayuan pendakwa yang
tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam
membebaskan dan melepaskan bekas eksekutif bahagian teknologi maklumat
syarikat gas dan minyak, Norazman Bashah Ahmad Azam Bashah, pada 28 Mei
tahun lalu.
Mahkamah Tinggi membebaskan Norazman Bashah selepas mendapati kelemahan
siasatan dan kegagalan pakar perubatan forensik mengesahkan sama ada
Nur Syaleza dijerut sampai mati atau menggantung dirinya.
Norazman Bashah dituduh membunuh Nur Syaleza, 31, di kediaman mereka di
Apartmen Saujana, Jalan PJU 10/1C, Damansara Damai, Petaling Jaya,
antara 12 tengah hari dan 7.30 malam, 28 Julai 2012.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati mandatori jika sabit kesalahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan