Rabu, 24 Februari 2016

Kerajaan perlu kaji kesan pasaran buruh

N Gopal Krishnam
Gopal


SHAH ALAM – Kerajaan perlu menjalankan kajian penilaian kesan pasaran buruh secara menyeluruh bagi menentukan permintaan pasaran sebenar bagi pekerja asing sebelum menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Bangladesh.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), N Gopal Krishnam berkata, ini kerana penilaian tersebut dapat memberi gambaran sebenar mengenai keperluan pasaran buruh di negara ini.

Katanya, selepas pembekuan pengambilan pekerja asing dilakukan, kerajaan perlu mengambil tindakan tegas terhadap pendatang asing tanpa izin (Pati) di seluruh negara.

“Saya juga meminta kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat pihak bertanggungjawab terhadap kemasukan pekerja asing tanpa izin yang terlalu ramai ke negara ini,” katanya.

Menurut Gopal, beliau terkejut dengan kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot yang memaklumkan Malaysia tidak mengambil kesemua 1.5 juta pekerja asing warga Bangladesh sebaliknya menyatakan jumlah itu  untuk 139 negara.

“Persoalan sekarang mengapa kerajaan buat pusingan U secara tiba-tiba. Kenyataan terbaharu ini jelas menunjukkan kerajaan tidak memberikan gambaran sebenar mengenai pengambilan pekerja asing.

“Ini menunjukkan terdapat sebilangan besar pekerja asing telah tiba dan kerajaan perlu mendaftarkan mereka (pekerja asing) sebagai pekerja sah sebelum membawa masuk lebih ramai pekerja asing,” katanya.

Katanya, kerajaan perlu menggugurkan idea membawa masuk pekerja asing sebaliknya mengenal pasti sebab golongan belia tidak mampu bertahan dalam sektor kotor, bahaya dan sukar.


Tiada ulasan: