Shakira Buang
Parti AMANAH Negara (AMANAH) meminta orang ramai menghubungi pihaknya
terlebih dahulu sebelum menghulurkan bantuan kepada presidennya Mohamad
Sabu yang kini berdepan kemungkinan diisytihar muflis.
Setiausaha
agungnya, Mohd Anuar Tahir berkata bantuan tersebut amat diperlukan
buat masa ini kerana bimbang kemungkinan Mohamad Sabu gagal membayar
gantirugi sebanyak RM200,000.
Dalam sidang medianya, Anuar
berkata, kurang 24 jam berita itu disiarkan, terdapat sesetengah pihak
yang memulakan usaha mengumpul dana bagi membantu Mohamad atau lebih
dikenali sebagai Mat Sabu.
"Pihak AMANAH mengucapkan terima kasih atas keprihatinan dan sokongan yang dizahirkan oleh semua pihak.
"Namun
untuk menentukan tidak timbul fitnah berhubung kutipan ini, maka kami
meminta semua pihak terlibat supaya berhubung dengan kami terlebih
dahulu.
"Dengan itu, usaha pembelaan terhadap beliau boleh
diselaraskan dan dilakukan dengan ketelusan supaya dapat mengelak
pertikaian berlaku," kata Anuar.
Ibu pejabat AMANAH boleh dihubungi melalui talian 03-62421511.
Mat
Sabu berdepan dengan tuntutan muflis selepas gagal melunaskan ganti
rugi berjumlah RM200,000 kepada Datuk Wan Ahmad Wan Omar kerana
memfitnah bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
berhubung isu ‘Projek IC’ di Sabah.
Kenyataan itu disiarkan lidah rasmi PAS, Harakah edisi 1 hingga 3 Februari 2013, yang mana Mat Sabu ketika itu merupakan timbalan presiden PAS.
Peguam
Wan Ahmad, Noor Hazira Abu Haiyan seperti dilaporkan media berkata,
pihaknya memfailkan petisyen pemiutang terhadap Mat Sabu untuk
mendapatkan semula ganti rugi itu beserta faedah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan