Namun begitu, beliau tetap berwaspada dan mengambil
sikap 'tunggu dan lihat' memandangkan keputusan itu belum dibuat secara
rasmi di mahkamah.
PETALING JAYA: Pensyarah undang-undang, Profesor Madya Dr Azmi Sharom akui bersyukur dengan keputusan Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali yang menggugurkan dakwaan di bawah Akta Hasutan 1948 terhadapnya.
“Saya bersyukur apabila akal budi akhirnya menang (common sense has prevailed).
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada peguam saya, kawan-kawan dan keluarga yang memberi sokongan dan sabar sepanjang tempoh ini,” katanya ketika dihubungi.
“Pengguguran ini hanya dinyatakan dalam kenyataan dan masih tidak rasmi. Belum digugurkan di mahkamah, jadi kita kena tunggu (di mahkamah),” katanya lagi.
Dalam satu kenyataan pagi tadi, Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali memutuskan untuk menggugurkan dakwaan di bawah Akta Hasutan ke atas Azmi selepas melihat keterangan semua saksi pendakwaan di mahkamah.
Pada tahun 2014, Azmi didakwa di bawah Seksyen 4(1)(b) dan Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 ekoran kenyataannya dalam artikel bertajuk ‘Take Perak crisis route for speedy end to Selangor impasse, Pakatan told’ yang disiarkan di The Malay Mail Online pada 14 Ogos yang lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan