Ahad, 2 Ogos 2015

Tutup media sosial: Jangan rosakkan nama saya

SINAR HARIAN


Zahid Hamidi
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika mengadakan sidang media selepas majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Bayan Baru 2015 hari ini. - Foto Bernama


GEORGETOWN - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang menyebar fitnah kononnya semua rangkaian media sosial di negara ini akan ditutup.

Katanya, beliau telah mengarahkan polis menyiasat punca berita itu dan mengambil tindakan terhadap individu yang memulakannya di laman sosial.

"Saya tidak memberi amaran tetapi saya telah meminta polis untuk menyiasat terhadap berita yang telah diviralkan kononnya saya akan menutup laman sosial.

"Jangan (nanti) orang yang memulakan berita itu terpaksa membayar harga yang mahal... jangan buat fitnah bodoh," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Bayan Baru di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri mengulas berita yang tersebar di internet hari ini yang mendakwa kononnya beliau mengarahkan semua rangkaian media sosial di negara ini ditutup bermula Selasa depan.

Ahmad Zahid berkata, tindakan pihak tertentu menyebarkan berita itu seolah-olah untuk memperlihatkan beliau tidak faham mengenai perundangan dan mahu semua pengendali media sosial membencinya.

"Laman sosial atau sebarang portal berita adalah di bawah kuasa SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia)... jangan rosakkan nama saya.

"Saya tidak beri amaran... sekali lagi saya sebut kalau polis menyiasat punca datang dari mana dan (siapa) orang itu, tiada maaf bagimu," katanya.

Beliau meminta pihak terlibat menarik balik kenyataan itu dan mengingatkan media agar tidak menggunakan kebebasan bersuara untuk menyebarkan fitnah terhadap kepimpinan negara atau parti.

"Saya beritahu sekali lagi harga yang mahal terpaksa dibayar orang itu... saya akan cari puncanya dan puncanya akan tahu apakah tindakan yang akan saya lakukan," katanya.

Terdahulu Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden Umno, berkata media sepatutnya menulis berdasarkan fakta sebenar selaras dengan etika kewartawanan.

"Jangan mentafsir dan memutar belitkan. UMNO tidak akan berkompromi...saya beritahu anda...jangan harap saya akan keluarkan amaran, tapi (saya akan) ambil tindakan," katanya.

Ahmad Zahid turut membuat penafian di laman Twitternya mengenai penyebaran fitnah itu dan menegaskan beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan tersebut.

"Saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan berikut," katanya dengan menyertakan info grafik yang mendakwa beliau mengeluarkan kenyataan tersebut.

Pada info grafik itu dipaparkan gambar beliau dengan kata-kata,"Kita akan sekat semua laman sosial Selasa ini" di sebelah gambar itu. - Bernama


Tiada ulasan: