MALAYSIAKINI
Seorang pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
semakin yakin polis sengaja mahu mengganggu siasatan mereka terhadap SRC
International Sdn Bhd yang dikaitkan dengan Datuk Seri Najib Razak.
Sumber SPRM berkata, agensi antirasuah itu mempunyai sasaran atau tarikh
akhir melengkapkan siasatan kes berprofil sangat tinggi itu.
Justeru, katanya, mereka yang ditugaskan bekerja siang malam pada Ramadan lalu, malah sesetengahnya bersahur di pejabat.
"Ramai saksi kami ditahan polis di balai atau Bukit Aman apabila mereka
disasarkan terlebih awal, namun apabila penyiasat SPRM berjaya menemui
saksi utama, polis menahannya.
"Menjadikan
keadaan lebih buruk, kini pegawai SPRM yang menyiasat kes itu, termasuk
timbalan pendakwa raya juga ditahan," katanya.
Sumber itu berkata, walaupun polis menafikan mereka ditahan, pegawai terbabit hanya dibebaskan selepas diikat jamin RM10,000.
Malah, katanya, salah seorang daripada pegawai terbabit menghabiskan satu malam di dalam lokap.
"Macam mana polis menafikan mereka ditahan apabila mereka dikenakan ikat
jamin? Mereka boleh menipu orang awam tetapi tidak boleh menipu
seseorang yang memahami undang-undang," kata sumber itu.
Kalau bukan tangkap, apa?
Sumber yang enggan didedahkan identitinya itu menambah, polis memang
mengetahui undang-undang tetapi melanggarnya kerana ada seseorang atau
pihak tertentu di belakang mereka.
Setakat ini tujuh anggota SPRM dipanggil memberi keterangan oleh polis,
bermula dengan timbalan pendakwa raya, Ahmad Shazalee Abdul Khairi pada
Sabtu lalu.
Pegawai terakhir diambil polis ialah Timbalan Pengarah Operasi Khas SPRM, Tan Kang Sai pada Rabu.
Syarikat SRC International disiasat berhubung pinjaman dari Kumpulan
Wang Amanah Persaraan (KWAP) bernilai RM4 bilion kepada 1MDB, serta
pemindahan dana RM4.2 bilion ke akaun persendirian Najib.
Polis
kemudian menyiasat pegawai SPRM berhubung dakwaan berlaku kebocoran
maklumat hasil siasatan mereka dan kes berkenaan dikategorikan menurut
Seksyen 194 Kanun Keseksaan, iaitu aktiviti memudaratkan demokrasi
berparlimen.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya II SPRM, Datuk Mustafar Ali (gambar)
turut merungut apabila menganggap polis campur tangan dalam siasatan
agensi berkenaan, manakala bekas pengarah operasi khas badan itu, Datuk
Bahri Mohd Zain mendakwa ada tangan ghaib di belakang tindakan
berkenaan.
Polis menafikan dakwaan pegawai SPRM itu. Timbalan Perdana Menteri Datuk
Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula menegaskan, tiada tindakan lanjut akan
diambil terhadap SPRM.
Ditanya komennya mengenai janji Ahmad Zahid, sumber itu berkata: "Anda percaya pada ahli politik?"
Mula-mula,
katanya, mereka mendakwa pegawai SPRM tidak ditahan tetapi tiga
daripada mereka - termasuk Ahmad Shazalee - dibebaskan dengan ikat jamin
RM10,000.
"Jika itu bukan penangkapan, saya tak tahulah.
"Mereka menyerbu pejabat dan rumah kami dan sesetengah anggota SPRM bermalam di lokap. Apa semua ni?" katanya.
Sementara itu seorang lagi sumber memberitahu, moral petugas SPRM kini terjejas akibat tindakan polis sebelum ini.
"Ya, kami perlu menghadiri sesi kaunseling dan berkumpul untuk memberikan sokongan antara satu sama lain," katanya.
Pada 4 Ogos lalu, SPRM mengadakan solat hajat diimamkan timbalan
pesuruhjayanya, Datuk Zakaria Jaafar, bagi memohon kepada Allah
memberikan mereka kekuatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan