KEADILAN DAILY
KENYATAAN MEDIA
PINDAAN AKTA KOMUNIKASI DAN MEDIA CUBAAN MENDIAMKAN RAKYAT YANG MARAH TENTANG ISU 1MDB
Akhir-akhir ini, serangan terhadap institusi media semakin hebat.
The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily telah digantung lesen
penerbitan, manakala akses kepada laman Sarawak Report telah disekat.
Ini semua berlaku akibat liputan yang dibuat media tersebut terhadap isu
1MDB dan beberapa dakwaan terhadap Dato’ Sri Najib Razak.
Malah sekarang bagaikan berjalan satu “operasi” untuk mendiamkan
media, anak muda dan pimpinan politik yang lantang bersuara meminta
penjelasan serta menggertak agensi-agensi kerajaan yang melakukan
siasatan.
Oleh itu, dalam konteks ini, pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia
(AKM) 1998 dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) 1998
yang bakal diusul Oktober nanti merupakan usaha untuk mendiamkan rakyat
yang begitu marah akibat pelbagai skandal dan kepincangan yang melanda
negara.
Dato’ Sri Najib sebagai Perdana Menteri sepatutnya lebih demokratik
dan terbuka dalam menerima kritikan rakyat terutama melalui media
sosial. Beliau perlu sedar bahawa media sosial merupakan perhubungan dua
hala; zaman perhubungan satu hala sudah lama terkubur.
Beliau tidak patut menggunakan retorik “trial by social media”
sebagai alasan membuat pindaan terhadap akta-akta ini, lebih-lebih lagi
kerana rakyat hanya mengharapkan penjelasan terhadap isu-isu yang
dibangkitkan. Kekangan dan tindakan keras hanya mengukuh persepsi bahawa
ada sesuatu yang cuba disembunyikan.
Berdasarkan laporan berita, pindaan-pindaan ini bertujuan untuk:
1. memperluas kuasa SKMM dan menambah berat hukuman kesalahan-kesalahan terutama yang berkaitan pengguna media sosial; dan
2. mengarah pendaftaran laman-laman web berita, seperti model di Singapura.
Dalam isu kuasa SKMM dan menambah berat hukuman, yang menariknya
SKMM sendiri memperakui bahawa undang-undang sedia ada mencukupi.
Berikut merupakan “pop-up screen” yang muncul apabila anda melayari
laman web SKMM. Ia menyenaraikan undang-undang serta agensi
penguatkuasaan yang bertanggungjawab menangani masalah kandungan online
seperti fitnah, ancaman terhadap keselamatan negara dan sebagainya. Oleh
itu, SKMM sendiri bagai berkata pindaan tidak diperlukan.
Dalam isu pendaftaran laman web berita pula, mengapa perlu kita
ikuti jejak langkah negara yang berada enam anak tangga lebih rendah
dari kita dalam 2015 World Press Freedom Index? Jelas undang-undang
sedia ada amat mencukupi. Paling tidak, sebuah majlis media (media
council) boleh diwujudkan agar media dapat melakukan pengawalseliaan
sendiri. Kerajaan sebagai eksekutif perlu mengakui tugas dan
tanggungjawab media sebagai estet ke-empat dalam memastikan wujudnya
sistem semak dan imbang (checks and balances) demi menjamin kesihatan
demokrasi di Malaysia.
Putrajaya wajib sedar bahawa rakyat sedang tekun memerhati; jangan
kerana hendak menyelamatkan beberapa individu maka hak asasi ditekan dan
masa depan negara tergadai.
Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi KEADILAN
Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan