MALAYSIAKINI
PAS berkata adalah lebih elok kalau rakyat tahu siapa penderma RM2.6
bilion bagi mengelak tuduhan dan kecurigaan apakah perdana menteri
bekerja untuk penderma berkenaan atau untuk rakyat.
"Pendedahan ini juga akan membantu LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri)
membuat kunjungan kepada dermawan tersebut," kata timbalan presiden PAS,
Tuan Ibrahim Tuan Man.
Katanya, walaupun pengarah Pengarah komunikasi strategiknya Datuk Abdul Rahman Dahlan memberi penjelasan kepada soalan "remeh-temeh" darinya, tetapi ia bukanlah bermakna isu itu telah selesai.
"Masih banyak lagi soalan remeh-temeh yang perlu dijawab," kata Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan hari ini.
Antaranya, kata beliau, ialah apakah wajar bagi perdana menteri
menggunakan akaun peribadi bagi menerima dana sebesar RM2.6 bilion itu,
sedangkan ia boleh mengundang pelbagai prasangka buruk terhadapnya.
"Berapakah jumlah yang dibelanja oleh Umno-BN bagi menghadapi PRU13
lalu? Apakah ia melepasi had yang ditentukan oleh Akta Pilihanraya?
"Jika ya, bukankah keputusan PRU13 yang lalu menjadi tidak sah?" tambahnya.
Katanya lagi, jika dana itu tidak habis digunakan untuk PRU13 yang lalu
dan bukan untuk kegunaan peribadi, berapakah baki duit derma yang masih
berada dalam akaun itu ketika ia ditutup?
"Ke mana perginya baki itu? Apakah penyaluran dana sebenar ini ke akaun
PM ini tidak tertakluk di bawah Akta Kewangan dan tidak terbau hidung
LHDN untuk dikejar cukainya?
"Saya percaya soalan-soalan yang dikemukakan hari ini juga sangat-sangat
ditunggu jawapannya oleh rakyat marhaen, namun mungkin dipandang
remeh-temeh kepada mereka yang berniat cuba menutup sesuatu daripada
pandangan rakyat.
"Sebagai seorang penerima gaji dari rakyat jelata, eloklah Abdul Rahman mengingati siapa bosnya yang sebenar," tambahnya.
Bagaimanapun, Tuan Ibrahim berterima kasih atas jawapaan Abdul Rahman terhadap soalan 'remeh' yang beliau kemukakan.
"Sekurang-kurangnya ada maklum balas. Perdana menteri masih berdiam diri
meskipun rakyat sudah menanti lebih sebulan sehingga Tun Mahathir
Mohamad pun naik angin.
"Padahal bukan payah sangat untuk perdana menteri menjelaskan bahawa:
"Ini sumbangan derma dari penderma perihatin." Peliknya mengapa PM tidak
menjawab sedemikian ketika WSJ melakukan tuduhan ke atasnya.
"Mengapa perdana menteri menjawab ‘Saya ingin menegaskan sekali lagi
bahawa saya tidak pernah mengambil dana 1MDB untuk kepentingan diri
sendiri’ dan bukannya terus menempelak WSJ dan berkata duit itu duit
derma?
"Setelah sebulan, akhirnya yang membuat kenyataan itu ialah SPRM," tegas Tuan Ibrahim.
Bagaimanapun, beliau bertanya apakah kini perdana menteri yakin rakyat
akan percaya wang RM2.6 bilion itu adalah dari sumbangan derma hanya
kerana SPRM mengumumkan sedemikian.
"Rakyat nak tahu ke mana hutang RM42 bilion yang kini menjadi liabiliti kepada 1MDB dibelanjakan," tambahnya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan