MALAYSIAKINI
Hubungan antara kerajaan Kedah dan kerajaan Persekutuan pada masa ini
tidak berhadapan dengan sebarang masalah dan berada dalam keadaan baik,
kata Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.
Beliau
berkata dakwaan pihak tertentu menyatakan hubungan kerajaan Kedah dan
Persekutuan tidak berapa baik serta renggang adalah tidak benar.
"Saya
ingin melaporkan, hubungan antara kerajaan negeri dan kerajaan
persekutuan sememangnya baik dan tidak menghadapi sebarang masalah,"
katanya di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah semalam.
Beliau
berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih
titah ucapan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tunku Sallehuddin
Almarhum Sultan Badlishah di perasmian persidangan DUN, dua hari lepas.
Mukhriz
berkata selagi kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan bersikap
profesional, hubungan kedua-dua pihak tidak akan menghadapi masalah.
Berucap
di perasmian persidangan DUN dua hari lepas, Tunku Sallehuddin yang
juga Tunku Temenggong, meminta hubungan antara kerajaan Kedah dan
kerajaan Persekutuan sentiasa dijaga dan dipelihara.
Baginda
bertitah hubungan baik itu perlu kerana kerajaan negeri amat memerlukan
bantuan dan sokongan daripada kerajaan Persekutuan untuk melonjakkan
ekonomi negeri ke tahap yang lebih tinggi.
Kerajaan
negeri menurut Mukhriz, sentiasa membangkitkan kepada kerajaan
Persekutuan tentang projek-projek rakyat seperti pembukaan taman-taman
industri yang dapat menyediakan pekerjaan bernilai tinggi kepada rakyat
Kedah.
Beliau berkata Kedah telah mengemukakan permohonan kepada
kerajaan Persekutuan tentang projek-projek pembangunan menerusi lisan,
surat serta sesi-sesi taklimat.
Antaranya, kata menteri besar sesi
taklimat Unit Perancang Ekonomi (UPEN) yang diberikan kepada Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika beliau melawat Kedah tahun
lepas.
Selain itu, katanya Najib turut diberikan taklimat tentang
cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) ketika
mesyuarat majlis ekonomi di ibu negara.
Mengenai
kedudukan beberapa projek ikonik Kedah yang tidak dimasukkan di dalam
Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), beliau berkata ia tidak bermakna
projek itu tidak akan dilaksanakan oleh kerajaan.
Beliau
memberi contoh projek minyak dan gas Pengerang yang tidak pernah disebut
dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-10, tetapi sehingga kini
sebanyak RM10 bilion telah dibelanjakan untuk projek terbabit.
Mukhriz
juga berkata, kerajaan negeri mempunyai beberapa pilihan untuk
membiayai pembinaan KXP termasuk menerusi Inisiatif Pembiayaan Swasta
(PFI), sekiranya kerajaan Persekutuan menghadapi masalah untuk
membiayainya.
Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan Persekutuan tidak menolak cadangan pembinaan KXP itu.
DUN Kedah meluluskan usul menjunjung kasih titah ucapan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan