Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun mengalami beberapa
kecederaan pada bahagian badan, muka termasuk bengkak mata kiri
dipercayai akibat didera.
Kejadian yang menimpa kanak-kanak itu disedari seorang pegawai
perubatan yang bertugas di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala
Terengganu ketika merawat mangsa kira-kira pukul 2 pagi semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Setiu, DSP Idris Mohamed berkata mangsa
dikatakan datang ke hospital berkenaan bersama bapa saudaranya untuk
mendapatkan rawatan selepas dikatakan terjatuh ketika bermain.
Katanya hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat banyak kesan lebam
dan luka lama serta baru di tubuh mangsa termasuk lebam dan bengkak mata
kiri.
"Kanak-kanak terbabit dihantar oleh bapa saudaranya dan dia mendakwa
diminta oleh datuk yang juga penjaga mangsa menghantar kanak-kanak
terbabit ke hospital.
"Lelaki terbabit mengesyaki kanak-kanak terbabit didera berdasarkan
kecederaan dialami pada tubuh badannya sebelum membawa ke hospital,"
katanya ketika dihubungi Bernama semalam.
Idris berkata menurut bapa saudara mangsa itu, datuk kepada kanak-kanak
malang itu dikatakan bertindak memintanya menghantar kanak-kanak itu ke
hospital kerana tidak tahan melihat cucunya didera.
"Mangsa kini masih dirawat di hospital dan dilaporkan stabil dan kita
masih menunggu laporan kesihatan daripada pihak hospital," katanya.
Beliau berkata siasatan lanjut berhubung kes itu masih dijalankan dan
kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan