MALAYSIAKINI
Pusat Penyelarasan Agensi Bersama Australia (JACC) akhirnya mengesahkan
bahawa bahagian sayap pesawat dikenali sebagai flaperon yang ditemui di
Pulau Reunion milik Perancis ialah dari MH370 yang hilang.
"Pemeriksaan seterusnya menunjukkan bahawa dalam semua kemungkinan,
serpihan, bahagian sayap dikenali sebagai flaperon, ialah dari MH370,"
kata JACC dalam satu kenyataan pada Rabu.
Pada 29 Julai lepas, kepingan sayap pesawat telah ditemui di pantai
Pulau Reunion dan dihantar ke Perancis untuk analisis lanjut.
Pada 6 Ogos, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan
bahawa bahagian flaperon yang ditemui itu ialah sebahagian daripada
komponen pesawat.
Penerbangan MH370 hilang daripada imbasan radar pada 8 Mac, 2014 setelah
berlepas dari Kuala Lumpur bersama 239 penumpang dan anak kapal, antara
mereka ialah 154 penumpang warga China.
Mengenai perkembangan operasi mencari, JACC berkata Fugro Discovery,
kapal mencari MH370, telah tiba di Lautan Hindi dan telah memulakan
operasi awal Rabu.
Katanya, Fugro Equator tiba di Fremantle, Australia pagi semalam untuk
operasi rutin mengisi semula bekalan dan akan berlepas ke kawasan
pencarian pada Khamis.
Sementara itu, Menteri di Pejabat Presiden Maldives, Mohamed Shareef
dipetik oleh Agence France-Presse (AFP) sebagai berkata tiga pakar
penerbangan dari Malaysia telah mula memeriksa serpihan yang dijumpai di
pulau itu pada Rabu untuk menentukan sama ada ia bangkai daripada
pesawat MH370.
Mohamed Shareef berkata ketiga-tiga mereka, diketuai oleh Ketua Pengarah
Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Azharuddin Abdul Rahman, telah menemui
pihak berkuasa tempatan dan memeriksa serpihan selepas tiba di kepulauan
itu pada malam Selasa.
Shareef memberitahu AFP dalam satu perbualan telefon bahawa pakar-pakar
tersebut akan kembali ke Malaysia pada lewat Rabu sebelum melaporkan
kepadaMenteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan