Selasa, 25 Ogos 2015

1MDB: Kenapa SPRM‎ disingkirkan?

Akhbar Satar
Datuk Akhbar Satar
 
 
SHAH ALAM - Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Akhbar Satar mempersoalkan tindakan kerajaan menyingkirkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada pasukan petugas khas National Revenue Recovery Enforcement Team (NRRET) yang menyiasat isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
 
Menurutnya, ketiadaan SPRM dalam penyiasatan itu mengukuhkan lagi dakwaan wujud salah guna kuasa, rasuah dan penyelewengan dana melibatkan skandal 1MDB.
 
“Sesuatu yang amat mengejutkan kerana pasukan baharu ini (NRRET) akan diketuai Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dengan wakil-wakil Bank Negara dan pihak polis tetapi tanpa SPRM.
 
“Ini menunjukkan pihak berkuasa sedang memanipulasi penyiasatan dan tanpa SPRM, NRRET akan kehilangan taring selain kemungkinan isu 1MDB dan dana dimasukkan dalam akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak dapat diselesaikan dengan telus,” katanya.
 
Akhbar turut mempersoalkan peranan Mohamed Apandi yang akan mengetuai pasukan petugas khas tersebut.
 
“Peranan Peguam Negara dalam pasukan petugas sebelum ini bertindak sebagai pemberi maklumat dan nasihat undang-undang.
 
“Namun, kini dilantik mengetuai NRRET. Adakah beliau menentukan apa yang perlu disiasat dan apa yang sepatutnya tidak dan bagaimana siasatan untuk dilakukan?” soalnya.
 
Beliau berkata, NRRET perlu diketuai seseorang yang tidak mempunyai fahaman politik dan memiliki rekod cemerlang untuk tadbir urus baik.
 
“Kerajaan jangan campur tangan dalam penyiasatan SPRM dan membenarkan pegawainya untuk menjalankan tugas secara profesional serta bebas selaras dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Berkenaan Pencegahan Rasuah (UNCAC) Perkara 16 (2),'' katanya.
 
 

Tiada ulasan: