MALAYSIAKINI
Kapal tangki MT Orkim Harmony dilaporkan beralih arah belayar ke timur
Indonesia menuju ke Kepulauan Natuna dalam cubaan sekumpulan perampas
bersenjata yang menawan kapal itu, untuk melepaskan diri.
Panglima Wilayah Laut 1 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana
Muda Datuk Azahari Abdul Rashid berkata kumpulan perampas terbabit juga
meminta pihak penguatkuasa menyediakan bot ketika mereka sampai di Pulau
Natuna.
"Proses rundingan masih berjalan... apabila sampai di Pulau Natuna,
mereka (perampas kapal) meminta disediakan sebuah bot untuk mereka
melepaskan diri, sementara pihak TLDM masih mengiringi kapal tangki itu
ke sana.
"Kapal itu dijangka sampai ke pulau berkenaan pada Sabtu pagi dan TLDM
juga telah memaklumkan kepada pihak penguatkuasa Maritim Indonesia
mengenai perkara itu," katanya ketika dihubungi Bernama malam tadi.
Pada masa ini, KD Terengganu masih meneruskan rundingan dengan perompak supaya mereka menyerah diri.
TLDM masih menunggu arahan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN)
dalam usaha menyelamatkan anak kapal terdiri dari 16 rakyat Malaysia,
lima Indonesia dan seorang Myanmar, yang kini dalam tawanan
sekurang-kurangnya lapan perampas bersenjatakan pistol dan parang.
Kapal tangki milik Syarikat Magna Meridian Sdn Bhd yang membawa 6,000
tan metrik petrol bernilai RM21 juta itu, dilaporkan hilang sejak Khamis
lalu ketika
dalam perjalanan dari Melaka ke Pelabuhan Kuantan, Pahang.
Kapal itu yang disahkan ditemui hari ini oleh pihak berkuasa, telah dicat semula dan ditukar nama kepada 'Kim Harmon'.
Azahari berkata sehingga kini, sebanyak 16 buah kapal dan empat pesawat
berserta 1,200 pegawai dan anggota terlibat dalam operasi tersebut.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan