MALAYSIAKINI
Bekas menteri besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini sekali lagi mengulangi gesaannya
supaya Menteri Besar Azmin Ali supaya segera menyelesaikan
penstrukturan semula air di negeri itu atau berundur dari jawatannya.
Sejak mengetuai pentadbiran negeri itu sehingga kini, Khalid mendakwa
Azmin sengaja melambatkan proses pengambilalihan keempat-empat syarikat
konsesi air dan gagal mengambil pelan tindakan terperinci menyelesaikan
isu tersebut.
Susulan itu, Khalid berkata beliau difahamkan ada pegawai yang sebelum
ini bertungkus-lumus menyempurnakan penyusunan semula industri air kini
seolah-olah hilang punca tanpa hala tuju dan garis panduan yang jelas
daripada Azmin.
"Sebaliknya, apa yang beliau mampu lakukan hanyalah melemparkan pelbagai
kenyataan mengelirukan, dolak-dalih retorik, dakwaan tempang dan
tuduhan tidak berasas terhadap pihak-pihak berkepentingan yang lain
terutama Kerajaan Persekutuan.
"Sama ada beliau memang tiada kompetensi atau sebenarnya ada udang di
sebalik batu," kata Khalid dalam satu kenyataan hari ini.
Khalid berkata rakyat terkejut dengan "ancaman" tindakan Puncak Niaga
Holdings Berhad (PNHB) mahu membatalkan perjanjian jual beli dengan
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd.
Selain itu, katanya PNHB juga mahu mengambil tindakan undang-undang
untuk mendapatkan semula hutang tertunggak kerajaan Negeri yang
dianggarkan mencecah RM4.97 billion pada 31 Mac 2015.
Jika kerajaan negeri gagal memuktamadkan Perjanjian Utama dengan
Kerajaan Persekutuan, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan Air
Selangor, Khalid berkata tidak mustahil ancaman PNHB itu bertukar
realiti.
Ini kerana, katanya, "imuniti" yang dinikmati oleh Syarikat Pengeluar
Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) untuk terus berdegil menolak tawaran
Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).
Sehubungan itu, Khalid menggesa kerajaan negeri segera memuktamadkan
penstrukturan semula industri Selangor demi kemaslahatan penduduk di
negeri itu, Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan pembinaan Loji Rawatan Air
Langat 2 dan Sistem Agihannya (LRAL2).
"Saya yakin Kerajaan Persekutuan tidak akan teragak-agak menguatkuasakan
Akta Perkhidmatan Industri Air 2006 khususnya Seksyen 114 sekiranya
usaha ini menemui jalan buntu.
"Sekiranya Datuk Menteri Besar sendiri sedar akan had keupayaan peribadi
dan mana-mana kekangan lain untuk memuktamadkan segera penyusunan
semula industri air Selangor pada kos keseluruhan tidak melebihi RM9.65
billion, maka saya ulang gesaan yang pernah saya utarakan di dalam Dewan
Degeri Selangor sebelum ini.
"Keikhlasan mendahulukan rakyat akan terpancar jika beliau berundur
sekarang supaya Dewan dapat mencari seorang pengganti yang benar-benar
layak, berkemampuan dan berkebolehan untuk melaksanakan tanggungjawab
berat ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan