Oleh Khalid Samad
Almarhum Usraz Fadzil Noor sememangnya mempunyai pendekatan yang begitu terbuka dan inklusif dalam usaha membawa perjuangan Islam. Dan ini adalah antara sebab almarhum akan sentiasa dirindui ramai.
Pada minggu lalu saya telah menceritakan pendekatan Almarhum Ustaz Fadzil Noor dan Tuan Guru Nik Aziz terhadap masyarakat umum dan parti pembangkang lain.
Pendekatan inklusif atau terbuka yang membanyakkan interaksi atau saling berbincang dan berhubung telah menghasilkan pembentukan Barisan Alternatif (BA) pada 1999. Melalui BA, prestasi PAS melonjak sehingga memenangi 27 kerusi Parlimen dalam pilihan raya tahun itu.
Prestasi ini dengan sendirinya membuktikan keberkesanan dan kebijaksanaan pendekatan inklusif Almarhum.
Sikap terbuka terhadap NGO Islam
Pada hari ini saya ingin menceritakan pula sikap keterbukaan Almarhum terhadap NGO Islam yang tidak bersama PAS.
Hubungan NGO Islam dengan PAS sebelum itu dipenuhi syak wasangka dan ketidak-kepercayaan antara satu sama lain. Masing-masing mendakwa mereka berada di pihak yang betul dan lebih menepati kehendak dan tuntutan perjuangan Islam.
Masing-masing mendakwa yang pihak satu lagi telah tergelincir dengan tidak membawa mesej Islam dengan sifat kesyumulannya. Di kalangan mahasiswa khususnya, persaingan untuk mengukuhkan pengaruh menghasilkan suasana yang agak tegang.
Almarhum Ustaz Fadzil Noor memanfaatkan peristiwa pemecatan dan fitnah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998 untuk mengenepikan segala perbalahan antara NGO Islam dan PAS melalui pembentukan GERAK.
GERAK menyatupadukan keseluruhan NGO Islam dan NGO bukan Islam dalam satu gelombang kebangkitan rakyat menentang kezaliman Umno/BN.
Melalui GERAK, NGO Islam seperti Jemaah Islah Malaysia (JIM) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dibawa bekerjasama dengan PAS dan persamaan diraikan dan perbezaan diketepikan.
Dalam menghasilkan gelombang kebangkitan ini, maka hubungan antara PAS dan NGO Islam menjadi semakin rapat sehingga kebanyakan dari prejudis dan buruk sangka di antara satu dengan lain dapat di atasi.
Pada masa yang sama, melalui kerjasama ini, pimpinan NGO tersebut mula menyedari bahawa PAS tidak sepertimana yang disangka mereka selama ini. PAS dilihat lebih terbuka dan prihatin terhadap masalah semasa dari apa yang dianggap mereka sebelum ini.
Persepsi NGO terhadap PAS
Oleh itu beberapa pimpinan dan ahli NGO Islam telah menyertai PAS. Ada dari mereka dilantik sebagai pimpinan. Selepas beberapa tahun, prestasi dan pengorbanan mereka disaksikan oleh ahli PAS sendiri dan mereka turut dipilih sebagai pimpinan.
Walaupun keterlibatan mereka dibantah oleh sebahagian pimpinan dan ahli PAS yang berjiwa sempit, Almarhum terus dengan dasar terbukanya. Almarhum pernah menyebut kepada saya bahawa persoalan kesatuan umat Islam perlu diusahakan melalui pendekatan yang terbuka dan sifat tasaamuh (timbang rasa) antara kita.
Beliau menyoal: “Kalau kita yang sama-sama bersetuju untuk menerima Al-Quran dan sunnah Rasulullah (SAW) sebagai dasar perjuangan tidak boleh bersatu dan mengurus perbezaan pandangan antara kita dengan baik, maka bagaimana kita boleh harapkan umat Islam sendiri akan bersatu?”
Almarhum juga selalu menyebut bahawa PAS sepatutnya bersikap sebagai “abang sulung” kepada NGO Islam ini dan membimbing mereka ke arah yang lebih baik. Maka perlu kepada “abang sulung” yang berjiwa besar, mengalah kepada adik dalam isu-isu sampingan demi kebaikan bersama.
NGO yang bersama PAS selepas itu memberi sumbangan tenaga, ilmu dan kepakaran masing-masing untuk melonjakkan imej PAS sebagai parti politik yang bergerak atas dasar Islam di kalangan masyarakat.
Mereka membawa bersama mereka segala rangkaian atau hubungan kenalan mereka di institusi pengajian tinggi, jabatan kerajaan, swasta dan semua kenalan yang lain untuk turut sama berkempen memenangkan PAS. Ke arah itu mereka turut menggambarkan PAS dengan imej positif dan baik.
Hasil dari usaha ini, maka imej PAS sebagai parti kampung, tidak berkemampuan dan tertutup berjaya dibasmikan di kalangan masyarakat tahun demi tahun. Ianya turut dibantu oleh NGO lain seperti GMI (Gabungan Mansuh ISA), Bar Council, Suaram (Suara Rakyat Malaysia) dan sebagainya.
Terlibat bersungguh-sungguh
Semakin lama maka semakin naik imej PAS sama ada di kalangan masyarakat Islam mahupun masyarakat bukan Islam. Dan lebih penting, matlamat wehdatul fikr (fikrah kesatuan) di kalangan parti dan NGO Islam semakin tercapai.
Usaha-usaha sebegini diteruskan selepas pemergian Ustaz Fadzil Noor di mana Tuan Guru Nik Aziz terus menyokong usaha-usaha ini serta menyemarakkan lagi keterlibatan PAS bersama NGO Islam dan bukan Islam.
Kerjasama dengan IKRAM, ABIM, Haluan, TERAS dan sebagainya diteruskan sambil keterlibatan PAS dengan BERSIH, SUARAM dan sebagainya menjadi satu kebiasaan.
Malangnya sikap keterbukaan yang ditunjukkan almarhum tidak mampu dibawa oleh golongan yang berjiwa sempit. Ahli bawahan sering menimbulkan tuduhan mengenai rancangan besar oleh pihak yang didakwa menyusup atau ingin mengambil alih kuasa.
Usaha besar dan baik yang dilakukan oleh Ustaz Fadzil Noor seharusnya difahami dan diutamakan oleh pimpinan dan ahli PAS. Jangan oleh kerana sebahagian yang berjiwa sempit menyebabkan usaha almarhum dihentikan.
Dewasa ini sikap berjiwa sempit kembali menguasai sebahagian pimpinan PAS, seperti sebelum zaman Ustaz Fadzil Noor. Teori “penyusupan” kembali dipopularkan dan perasaan benci dan sangsi terhadap kumpulan NGO Islam kembali mula ditanam.
Perjuangan Islam yang sememangnya serba kekurangan dimundurkan lagi dengan sikap suka berbalah di antara umat Islam.
Tuduhan liar yang tidak berasas mula dilemparkan dengan sewenang-wenangnya sehingga saya melihat apa yang pernah dibina oleh almarhum Ustaz Fadzil Noor mula dirobohkan satu per satu.
Jiwa sempit anggota PAS
Dengan sikap berjiwa sempit itu, PAS tidak akan mungkin mencapai kedudukan sebagai pemimpin atau penyatu keseluruhan gerakan Islam di Malaysia sepertimana diharapkan almarhum.
Usaha almarhum Ustaz Fadzil Noor perlu diteruskan dan diperhebatkan. Tetapi ia tidak akan mampu dilakukan oleh mereka yang berjiwa sempit dan tidak sanggup menghormati perbezaan pandangan antara kumpulan Islam di Malaysia.
Penyatuan dan penyelarasan usaha semua pihak akan hanya mampu dilakukan oleh pimpinan yang berkeyakinan diri dan kasih kepada kesatuan sambil menghormati perbezaan pandangan.
Sekiranya PAS ingin menjadi wadah yang memainkan peranan itu, maka sikap dan pendekatan yang ditunjukkan dewasa ini perlu dirombak.
Malangnya berdasarkan corak kempen menjelang muktamar ke-61, saya tidak melihat kemampuan ini di kalangan saf pimpinan yang ada ini.
Saya turut yakin bahawa ketegangan antara PAS dan NGO Islam lain akan semakin ditingkatkan sepertimana juga antara parti-parti rakan dalam PR.
Kalau ini yang berlaku maka PAS akan gagal dalam menunaikan tanggung-jawab dan amanahnya untuk membawa perjuangan Islam ke arah kejayaan.
Sekiranya ini berlaku, maka ia perlu diganti atau dibantu.
(*) KHALID SAMAD ahli parlimen PAS Shah Alam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan