MALAYSIAKINI
Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) menyelar tindakan Anggota
Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang yang didakwanya mempolitikkan isu
dakwaan pembelian hartanah oleh MARA Incorporated Sdn Bhd di Melbourne,
Australia.
LPPR menyifatkan kenyataan anggota pembangkang DAP yang mendakwa
siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah
dilaksanakan pada Disember 2014, sebagai "tindakan tidak
bertanggungjawab."
"Memandangkan isu itu masih disiasat, maka LPPR berharap semua pihak
bersabar dan memberi ruang kepada SPRM menjalankan siasatan secara
menyeluruh.
"Jangan mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan orang ramai dan
menjejaskan imej Suruhanjaya itu," kata LPPR dalam kenyataan semalam.
LPPR ialah antara empat badan bebas yang memantau perjalanan SPRM sejak
2009 sebagai Panel Penilaian Operasi (PPO) suruhanjaya itu.
Tiga yang lain ialah Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, Jawatankuasa Aduan, dan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah.
Kenyataan Lim itu turut dinafikan Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi
SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull kelmarin, yang menyatakan proses
pengesanan siasatan dijalankan pada Mac 2015 sebaik menerima maklumat
daripada orang ramai.
Akhbar Australia, The Age, melaporkan seorang pegawai tinggi
Majlis Amanah Rakyat (Mara), seorang pegawai kanan dan seorang bekas
ahli politik didakwa membelanjakan dana kerajaan secara berlebihan untuk
membeli satu blok pangsapuri di Melbourne dalam penipuan hartanah.
Akhbar itu mendakwa 'sekumpulan pegawai Malaysia yang amat kaya'
terlebih bayar sebanyak A$4.75 juta (RM13.8 juta) bagi blok pangsapuri
di bandar raya itu pada 2013.
Ketiga-tiga pegawai itu didakwa 'membida lebih tinggi' bagi bangunan itu
yang dikenali sebagai Dudley International House daripada A$17.8 juta
kepada A$22.5 juta (RM65.3 juta).
Dudley International House merupakan asrama pelajar yang dibeli oleh
Mara, yang menyediakan biasiswa kepada pelajar Malaysia yang melanjutkan
pengajian di luar negara.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan