THE RAKYAT POST
Pengguna juga perlu
membuat tetapan pada laman sosial masing-masing untuk mengawal apa jua
maklumat yang boleh dikongsi bersama-sama rakan di alam maya.
KUALA LUMPUR- Pngguna internet dinasihatkan agar tidak menjadikan laman sosial sebagai diari peribadi.
Timbalan Pengarah Jabatan Pembangunan dan
Perancangan Jangkauan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
(SKMM) Nur Halili Nadia Mustapha Kamal berkata melalui pemantauan SKMM,
didapati ramai pengguna kerap mengemas kini status serta aktiviti yang
berkaitan dengan kehidupan peribadi termasuk berkongsi lokasi mereka
berada.
“Kecuaian itu mengundang padah apabila
maklumat peribadi dikongsi sebegitu. Kita tidak kenal kawan-kawan di
laman sosial yang mungkin akan memanipulasi maklumat yang kita kongsi.
“Ini mengundang kepada niat jahat pihak
tertentu. Sekarang kita lihat hak privasi sudah tidak ada dalam kalangan
pengguna laman sosial,” katanya kepada Bernama di sini semalam.
Sehubungan
itu, Nur Halili Nadia menasihatkan pengguna laman sosial supaya
berfikir secara bijak sebelum berkongsi atau memuat naik sesuatu yang
bukan sahaja akan memberi implikasi kepada mereka malah kepada orang
lain.
Nur Halili Nadia berkata, pengguna juga
perlu membuat tetapan pada laman sosial masing-masing untuk mengawal apa
jua maklumat yang boleh dikongsi bersama-sama rakan di alam maya.
“Jika berlaku sebarang penganiayaan laman
sosial, maka pengguna perlu lapor segera kepada moderator laman sosial
kerana mereka akan beri keutamaan kepada anda. Kemudian barulah lapor
kepada SKMM dan pihak polis jika perlu,” katanya.
Beliau juga meminta pengguna supaya tidak
menjadi hamba kepada laman sosial dengan memuat naik dan berkongsi
pelbagai perkara semata-mata mengejar populariti dan mendapat jumlah
‘like’ yang banyak.
Menyentuh peranan SKMM, beliau berkata
suruhanjaya itu telah memperkenalkan program Klik Dengan Bijak (KDB)
sebagai wadah pendidikan dan pemahaman tentang isu semasa melibatkan
buli siber, malah memberi panduan kepada ibu bapa untuk menanganinya.
Melalui program itu, katanya, SKMM
menyalurkan pelbagai petua bagi mengelak pengguna menjadi mangsa buli
siber selain memberi pendedahan supaya menggunakan internet secara lebih
berwaspada.
Kata Nur Halili Nadia, kempen yang
berteraskan kepada Rukun Negara kelima iaitu Kesopanan dan Kesusilaan
kini berada pada fasa kedua yang fokus kepada isu jenayah buli siber,
berkongsi maklumat peribadi secara melampau dan penipuan di internet.
“Kita buat video bersiri mengenai
implikasi internet kepada pengguna selain bekerjasama bersama media dan
turun padang memberi ceramah di sekolah dan institusi pengajian tinggi,”
katanya sambil menambah SKMM telah menjalankan 6,000 program pendidikan
internet di seluruh negara sepanjang tahun lepas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan