PAS menasihatkan pemimpin progresif PAS (G18) yang mahu menubuhkan parti Islam baru supaya merujuk sejarah panjang perjuangan Islam yang dibawa PAS selama ini.
Menurut MP Temerloh itu lagi, jika mereka berbuat demikian, maka pemimpin kumpulan itu akan menemui kesempurnaan perjuangan Islam yang dibawa parti itu.
"Ini kerana mana-mana individu yang melihat kembali sejarah dan merujuk sumber-sumber Islam dengan jujur dan ikhlas akan segera mendapati kesyumulan perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS.
"Kita beristiqamahlah sehingga kemenangan," katanya melalui kiriman Whatapps kepada Malaysiakini.
Beliau mengulas kenyataan kumpulan progresif yang menyatakan keperluan mempunyai sebuah parti Islam baru kerana PAS didakwa bersikap tidak terbuka malah Majlis Syura dikatakan mengongkong kepimpinan.
Bekas anggota jawatankuasa PAS pusat itu juga berkata hasrat itu akan menjadi menjadi kenyataan sekiranya PAS tidak memenuhi pendekatan inklusif yang dibina pada masa ini.
Mengulas kenyataan beberapa bekas rakan sejawat mendakwa Majlis Syura PAS mengongkong kepimpinan PAS, Nasrudin berkata semua dasar, keputusan atau polisi Majlis Syura Ulama berpaksikan al-Quran, Sunnah, Ijmak dan qias yang muktabar.
'Tak timbul'
"Sekiranya kita benar-benar beramal dengan akhlak sebagai ahli gerakan Islam, tidak akan timbul isu bahawa keputusan Majlis Syura sebagai satu kongkongan.
"Sebaliknya ia merupakan satu panduan untuk ahli PAS kekal di atas aqidah perjuangan seperti yang telah ditegaskan oleh datuk tuan guru presiden PAS," katanya.
Sementara itu, Harakahdaily hari ini melaporkan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Ibrahim mengakui pemilihan parti pada muktamar baru-baru ini memberi "kesan yang sangat besar" berbanding pemilihan sebelum ini.
"Kita perlu duduk dan merangka strategi bagi memantapkan gabungan antara ulama, profesional dan aktivis parti," katanya seperti dilapor portal berita itu.
Laporan itu juga menyebut, Tuan Ibrahim menggesa ahli supaya memantapkan cawangan dan menambahkan jumlah keahlian, yang kini telah mencecah lebih sejuta ahli, supaya PAS mendominasi dalam gabungan pembangkang.
"Bukan sahaja kekuatan dalam Pakatan Rakyat, tetapi mampu mengamil alih Umno untuk teras kepada orang Melayu," katanya seperti dilaporkan.
Dalam laporan itu juga, Tuan Ibrahim berkata gambar bahawa ada ahli PAS akan keluar parti tidak akan berlaku sepertimana yang digembar-gemburkan, sebaliknya PAS akan terus kuat jika berpegang teguh kepada dasar dan prinsip Islam.
"Begitu juga dalam isu rakyat kita bersikap anjal dan akan terus berjuang untuk mereka, apa yang kita perlu ingat perubahan muktamar tiu merupakan isyarat untuk PAS kembali kepada perjuangan asal iaitu perjuangan Islam," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan