Sabtu, 27 Jun 2015

Mahu jadi MB Selangor, Khalid usah bermimpi! – Zuraida

KEADILAN DAILY

 

KUALA LUMPUR: Khalid Ibrahim perlu berhenti memalukan dirinya dengan menawarkan untuk memegang jawatan Menteri Besar (MB) Selangor, tegas Timbalan Pengerusi KEADILAN Selangor, Zuraida Kamaruddin.

Zuraida hairan bagaimana Khalid boleh mempersoalkan tentang Cekap, Amanah, dan Telus sedangkan beliau sendiri gagal dalam pentadbirannya yang lalu seperti dalam isu perjanjian air Selangor.

Zuraida1Tegas Ahli Parlimen Ampang itu, rakyat Selangor juga masih ingat isu Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex) dan kes penyelesaian Khalid di luar mahkamah dengan Bank Islam.

“Selain dipecat dari KEADILAN, bagaimana seorang Adun Bebas dan Ahli Parlimen boleh berharap untuk kembali menjawat jawatan Menteri Besar yang bebas dari mana-mana parti politik? Adakah Khalid cuba untuk menjual dirinya kepada pembida yang paling tinggi? Mungkin Umno?” sindir Zuraida.

“Adalah lebih baik jika Khalid belajar untuk berkhidmat di dalam kawasan beliau dahulu. Tugasnya adalah untuk rakyat, maka jagalah Pelabuhan Klang dan Bandar Tun Razak dengan baik dan berhenti bermimpi untuk menjadi Menteri Besar Selangor,” tempelak Zuraida yang juga Ketua Wanita KEADILAN dalam kenyataan.

Sejak Mohamed Azmin Ali mengambil alih jawatan Menteri Besar pada 23 September 2014, Selangor berkembang makmur dengan ketara berbanding sebelum ini.

Walaupun masih ada ketegangan kaum dan agama, namun ia ditangani dengan baik dengan kaedah yang memuaskan.

“Tidak ada ruang bahawa Khalid mempunyai peluang dalam mengambil alih Selangor semula.
“Begitulah kisah sedih Khalid Ibrahim!” kata Zuraida lagi.

Tiada ulasan: