SUNGAI PETANI – Seorang kanak-kanak 10 tahun mengejutkan kedua ibu
bapanya apabila mengeluarkan butiran halus lut sinar dari anggota badan
sejak petang kelmarin.
Nur Farah Farisya berkata, pada mulanya dia merasa gatal-gatal di
bahagian tengkuk seperti digigit semut menyebabkan dia garu sebelum
menyedari terdapat butiran halus lutsinar.
“Kejadian pertama berlaku di sekolah semalam (kelmarin) kira-kira jam 1
petang sebelum pulang ke sekolah. Kerana berasa pelik, saya terus buang
bijian halus berkenaan,” katanya.
Menurutnya, kejadian sama terus berlaku di sekolah apabila matanya
turut berasa gatal sebelum keluarnya bijian halus lut sinar sebesar biji
gula selepas digaru.
Bagaimanapun katanya, gatal-gatal di badan terus berlarutan selepas
pulang dari sekolah termasuk di kedua-dua belah mata dan lengan kiri
apabila terus-terusan mengeluarkan benda lutsinar itu.
“Apabila saya garu, ia terus terbit dari celah-celah kulit, saya tidak
tahu datangnya dari mana dan terus beritahu ibu,” katanya.
Ibunya, Zulila Mahmud, 40, berkata, selepas dimaklumkan anaknya,
mereka mula mengira butiran berkenaan sehinggalah kini mempunyai lapan
butiran halus sepanjang dua hari kejadian itu.
Zulila bagaimanapun bimbang dengan keadaan anak tunggal perempuan
daripada lima beradik itu sekiranya terdapat kesan lain berhubung tahap
kesihatannya.
“Selepas dia mengadu pening-pening, katanya dia mengalami kegatalan,
akan tetapi keluar pula benda yang membimbangkan kami,” katanya yang
telah membawa anaknya mendapatkan rawatan di klinik berdekatan.
Menurutnya, doktor tidak dapat mengesahkan punca butiran halus
berkenaan namun menasihati agar Farah memakai cermin mata untuk tujuan
kesihatan berikutan sering pening dan kabur pandangan.
“Saya bimbang dengan apa yang berlaku dan berharap ia tiada kaitan dengan tahap kesihatan anak saya,” katanya.
Sementara itu, bapa kanak-kanak berkenaan, Mohd Fauzi Osman, 42,
berkata, dia menafikan wujudnya unsur mistik apatah lagi anaknya
langsung tidak mengalami sebarang kejadian aneh sehingga boleh
mengaitkannya dengan unsur terbabit.
“Dia hanya mengalami pening-pening sebelum kejadian namun saya berharap ia tiada kesan sampingan.
“Saya akan bawa anak ke hospital untuk menjalankan rawatan seterusnya bagi memastikan perkara itu,” katanya.
Buat masa ini katanya, butiran halus itu akan disimpan untuk rujukan
mahupun dirujuk kepada yang pakar bagi mengetahui punca sebenar kejadian
berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan