Isnin, 29 Jun 2015

Mara Inc didakwa ada 3 hartanah lain di Australia


 
 
KUALA LUMPUR - Pusat Pemantauan dan Pendedah Maklumat Nasional (NOW) hari ini mendedahkan tiga lagi hartanah yang didakwa dibeli oleh anak syarikat Majlis Amanah Raya (Mara), Mara Incorporated Sdn Bhd di Melbourne, Australia.
 
Pengarah Eksekutifnya, Rafizi Ramli mendakwa, dokumen dalaman Mara berbentuk taklimat kepada Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa menunjukkan Mara Inc mempunyai pegangan penuh tiga lagi hartanah lain iaitu 746 Swanston Street, 333 Exhibition Street dan 51 Queen Street.
 
"Saya berjaya mendapat satu dokumen dalaman Mara yang digunakan dalam satu taklimat kepada Annuar dan delegasi Mara mengenai pembelian hartanah itu.
 
"Taklimat itu diberikan pada 20 Mei 2014 di Melbourne, Australia dan selain dari Annuar sendiri, delegasi Mara itu turut disertai oleh Datuk Lam Allani iaitu individu yang dikaitkan bertanggungjawab dengan pembelian hartanah ini," katanya pada sidang media di ibu pejabat NOW, di sini, hari ini.
 
Terdahulu, akhbar Australia, The Age mendedahkan anak syarikat Mara itu membida harga lebih tinggi bagi memiliki blok apartmen Dudley International House AS$17.8 juta (RM51.5 juta) kepada A$22.5 juga (RM65 juta).
 
Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa dalam satu sidang media pada Rabu menjelaskan keputusan urus niaga itu dibuat pada Mac 2013 dan mengakui pembelian pangsapuri itu jauh lebih tinggi berbanding harga asal yang ditawarkan.
 
Mengulas lanjut, Rafizi juga berkata bagi tujuan mengaburi mata, Mara Inc didakwa menubuhkan beberapa syarikat untuk memiliki hartanah tersebut.
 
"Mara Inc menubuhkan satu syarikat milik penuh di luar pesisir pantai (Offshore company) yang didaftarkan di British Virgin Island (BVI) untuk memiliki dua hartanah itu (746 Swanston Street dan Dudley International House).
 
"Bagi dua lagi hartanah (333 Exhibition Street dan 51 Queen Street), Mara Inc menggunakan tiga lapisan syarikat di negara yang berbeza untuk memiliki hartanah itu," ujarnya.
 
Antara syarikat yang mempunyai pegangan hartanah dalam 333 Exhibition Street ialah Powerwell Holdings Limited di Labuan, Carlton Garden Pte Ltd di Singapura dan Quenville Pty Ltd di Australia.
 
 

Tiada ulasan: