Isnin, 29 Jun 2015

Shabery: Pua patut undur dari PAC

MALAYSIAKINI


 


Ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Tony Pua sepatutnya menarik diri daripada menganggotai jawatankuasa itu kerana sikap berat sebelahnya terhadap siasatan isu kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata kerajaan kini dalam proses mencari kebenaran untuk menyelesaikan masalah 1MDB tetapi ahli politik DAP itu sering mengeluarkan kenyataan menghakimi sewaktu proses siasatan oleh PAC masih berjalan.

"Dia patut keluar daripada PAC. Dia akan malukan bukan saja PAC, tetapi juga sistem Parlimen itu sendiri.

"Dia patut bertanggungjawab," katanya kepada wartawan di satu majlis di Petaling Jaya hari ini.

Ahmad Shabery juga menyifatkan tindakan Pua yang juga anggota Parlimen Petaling Jaya Utara yang cenderung mengkritik 1MDB sebagai merendahkan martabat dirinya.


"Jadi orang itu (Pua) sudah tentu tidak layak untuk berada di dalam PAC. Dia buat kenyataan berat sebelah, dia sepatutnya malu, parti dia sepatutnya rasa malu, orang yang menyokong dan yang berkaitan dengannya juga sepatutnya berasa malu," katanya.

Sebelum ini, peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menyarankan supaya Pua berundur diri daripada PAC bagi membolehkan siasatan ke atas 1MDB dijalankan dengan telus dan adil.

Bagaimanapun, kenyataan itu disifatkan Pua sebagai usaha untuk menyekatnya daripada bersuara. - Bernama
 
 

Tiada ulasan: