Selasa, 30 Jun 2015

Najib utamakan cabaran politik berbanding tadbir Malaysia

NAJIB_UMNO

Roketkini.com


BUKIT BENDERA: Sepanjang dua tahun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dilihat mengutamakan cabaran politik yang menghambatnya, lebih dari memastikan Malaysia ditadbir dengan baik.

Terbaru, Presiden UMNO itu mengumumkan penangguhan pemilihan partinya selama 18 bulan, yang sepatutnya berlangsung tahun depan.

Najib dilaporkan berkata, penangguhan itu bagi memberi peluang kepada UMNO untuk berkhidmat kepada rakyat dan mengukuhkan parti.

Namun, pandangan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berbeza.

Katanya dalam satu majlis anjuran DAP Air Putih di Bukit Bendera semalam, penangguhan pemilihan UMNO selama 18 bulan adalah ‘berita baik’.

“Ini kerana Najib akan menjadi sasaran mudah dalam pilihan raya umum ke-14, lebih-lebih serangan akibat skandal yang akan terus memanjangkan ‘peperangan dalaman’ UMNO,” kata Kit Siang.

Ahli politik veteran itu berkata, tidak pernah dalam sejarah Malaysia memiliki Perdana Menteri yang menghimpun lambakan skandal sosio-ekonomi dan politik dalam masa yang begitu singkat.

Perkara ini menurut Kit Siang bakal mencetuskan ‘letupan besar’ dalam pilihan raya umum akan datang.

Kata Kit Siang, tidak seperti pilihan raya umum ke-13, skandal hutang 1MDB berjumlah RM42 bilion akan menjadi ‘ibu segala skandal’, walaupun wujud percubaan terdesak dibuat untuk meredakannya.

“Ia termasuk pembinaan skrip rumit, kononnya anggapan bahawa dakwaan skandal 1MDB berpunca dari ‘gangguan e-mel’.

“Ini bukan sahaja tak berasas, malah mustahil,” kata Kit Siang.

Ujarnya, meskipun skandal 1MDB cuba ditutup, masih banyak isu yang muncul termasuk skandal Tabung Haji, Felda Global Venture (FGV), pelaksanaan cukai GST dengan yang terbaru isu pembelian hartanah oleh MARA di Australia.

“Tidak ada tanda-tanda bahawa Najib boleh mengawal. Yang berlaku adalah sebaliknya.

“Nampaknya, semua orang meninggalkan kapal bersama ‘habuan’ dan ‘manfaat’ masing-masing sebelum tenggelam,” ujarnya.

Sayangnya kata Kit Siang, Pakatan Rakyat terlepas peluang keemasan untuk menggantikan UMNO-BN meskipun memenangi 52% sokongan dalam pilihan raya umum ke-13.

Sedangkan, gabungan itu sepatutnya telah bersedia menggantikan UMNO-BN yang kini berada pada kedudukan paling lemah menjelang pilihan raya umum ke-14.

“Pakatan Rakyat jatuh ke dalam perangkap UMNO dan tidak lagi wujud,” kata Kit Siang. – Roketkini.com


Tiada ulasan: