MALAYSIAKINI
Seorang wanita maut manakala anaknya parah selepas motosikal yang mereka
naiki dirempuh sebuah pacuan empat roda dalam kejadian di Kilometer
71.6, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, berhampiran Sekolah Kebangsaan
Pulau Serai, di Dungun semalam.
Dalam kejadian jam 7.05 pagi itu, Juzalina Johari, 37, maut di tempat
kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan
anggota badan.
Ketika kejadian, ibu kepada empat cahaya mata ini dalam perjalanan
menghantar dua anaknya Nur Effy Elysha Azmi Sham, 8, dan Muhammad Shah
Ikhwan Azmi Sham, 12, yang menuntut di sekolah berkenaan.
Bagaimanapun ketika tiba di tempat kejadian, pacuan empat roda jenis
Isuzu Dmax yang dipandu pemuda berusia 23 tahun dari arah Kuantan menuju
ke Kuala Terengganu telah hilang kawalan dan memasuki laluan
bertentangan sebelum merempuh motosikal yang dinaiki tiga beranak
tersebut.
Susulan rempuhan tersebut mengakibatkan murid perempuan darjah dua itu
mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan kaki manakala
abangnya hanya cedera ringan pada bahagian tangan.
Pemandu kenderaan empat roda itu yang berasal dari Kampung Seberang
Baruh Kiri, Kuala Terengganu turut mengalami kecederaan di bahagian dada
dan bahu.
Bapa mertua mangsa Mahmad Jusoh, 61, berkata menantunya itu telah
berjanji untuk menemaninya menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital
Dungun semalam.
"Semalam mereka sekeluarga datang berbuka puasa di rumah kami di Kampung
Seberang Pintasan dan sempat menyediakan ikan bakar sebagai juadah
berbuka. Sebelum pulang ke rumahnya dia berpesan untuk menjemput saya
pada jam 7.30 pagi," katanya ketika ditemui pemberita di Rumah Mayat
Hospital Dungun.
Menurutnya, beliau menunggu hingga jam 7.40 namun tidak muncul-muncul
sebelum adiknya datang ke rumah dan memaklumkan menantu dan cucunya
terlibat dalam kemalangan,"
Sementara itu Ketua Polis Daerah Dungun Supt Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi Bernama mengesahkan insiden tersebut.
Katanya mayat mangsa yang berasal dari Pulau Serai itu dihantar ke
Hospital Dungun untuk dibedah siasat manakala kesemua mangsa yang cedera
juga turut menerima rawatan di hospital sama.
"Anak perempuan mangsa terpaksa dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur
Zahirah Kuala Terengganu kerana kecederaan parah bagi mendapatkan
rawatan lanjut," katanya.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan