SHAH ALAM: Selepas dihentam oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
berhubung kegagalan memuktamadkan penstrukturan semula air Selangor,
Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali kali ini menjadi sasaran kepada bekas
setiausaha politik Khalid, Faekah Husin.
Faekah yang merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar
Incorporated (MBI) itu membidas kembali kenyataan Azmin yang meletakkan
beban kegagalan memuktamadkan perjanjian air itu di atas bahu Khalid.
Ujar Faekah, tugas Azmin sepatutnya lebih mudah kerana hanya perlu
melaksanakan terma dan syarat Perjanjian Utama yang telah dimeterai
hasil rundingan kompleks dan holistik selama lima tahun dalam lebih 60
sesi mesyuarat dan perbincangan di antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan
Persekutuan, semasa pentadbiran Khalid.
"Apatah lagi apabila aspek paling penting dan rumit dalam proses
penstrukturan semula ini yang melibatkan struktur dan kerangka kewangan
telah pun disempurnakan sendiri oleh mantan Menteri Besar, Tan Sri Abdul
Khalid Ibrahim setelah menolak perkhidmatan bank pelaburan
antarabangsa, sekaligus menjimatkan Kerajaan Negeri daripada membayar fi
dan caj bernilai sekurang-kurangnya RM20 juta," katanya menerusi satu
kenyataan.
Azmin dalam reaksinya malam tadi menafikan dakwaan beliau gagal
menyelesaikan masalah air di Selangor, sebaliknya menyalahkan mantan
menteri besar itu yang mentadbir Selangor selama enam tahun.
Kata Azmin, beliau hanya baru mentadbir negeri berkenaan selama
sembilan bulan berbanding Khalid yang telah mentadbir dalam tempoh masa
yang lama, namun masih gagal menyelesaikan masalah air.
Faekah dalam pada itu turut menyelar Azmin yang menyatakan kononnya
Selangor lebih maju dan makmur di bawah pentadbirannya walau baru
sembilan bulan memegang tampuk pemerintahan.
"Mungkin 'kemakmuran' yang dikecapi bersandarkan kegagalan demi
kegagalan Dato' Menteri Besar untuk menyelesaikan pelbagai isu berkaitan
bekalan air bersih sehinggakan sekitar 600 penduduk Selangor berarak
'bersenjatakan' gayung dan baldi ke Bangunan SUK di Shah Alam baru-baru
ini?," soalnya.
"YAB Tuan Azmin Ali telah mempersiakan peluang yang telah diberikan
untuk membuktikan keupayaan beliau selama sembilan bulan. Maka tiada
jalan lain yang lebih adil dan berfaedah bagi rakyat Selangor melainkan
beliau beri laluan kepada yang lebih layak," ujarnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan