MALAYSIAKINI
Seorang wanita putus telinga kanan, patah beberapa batang gigi serta
cedera pada bahagian kepala dipercayai diserang seorang lelaki yang
tidak dikenali di Kampung Teluk Selendang, Mukim Teluk Baru di Teluk
Intan kelmarin.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata dalam
kejadian kira-kira pukul 7.44 malam itu, Jamiaaton Debab, 55, ditemui
tertiarap oleh anak bongsunya berusia 13 tahun ketika baharu pulang dari
sekolah.
"Semasa anak mangsa sampai di rumah, dia memanggil ibunya namun
panggilannya tidak berjawab. Ketika masuk ke dalam rumah, dia menemui
ibunya dalam keadaan tertiarap dengan berlumuran darah.
"Dia memanggil makciknya yang baru menghantarnya pulang dari sekolah
serta menceritakan keadaan ibunya dan menghubungi bapa serta abangnya
untuk memaklumkan kejadian itu," katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata mangsa yang tidak sedarkan diri dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk rawatan lanjut.
Mohd Shuhaily berkata hasil maklumat daripada anak mangsa serta orang
awam, suspek dari Kampung Sungai Bakong ditahan kira-kira pukul 9.30
malam pada hari yang sama di rumah ketua kampung.
"Suspek dipercayai di bawah pengaruh dadah ketika melakukan perbuatan tersebut," katanya.
Beliau berkata polis turut merampas sebilah parang dipercayai digunakan untuk mencederakan mangsa dan sebuah motosikal.
Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan, katanya.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan