MALAYSIAKINI
Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din mengingatkan tindakan pemimpin
progesif meninggalkan parti itu hanya akan menguntungkan "musuh" serta
melemahkan gerakan Islam.
Menurut laporan The Star hari ini, Haron menasihati kumpulan digelar G-18 itu supaya tidak meninggalkan PAS atau mereka akhirnya akan dilupakan.
"Sekumpulan kambing akan menjadi lebih selamat apabila mereka bersama,
tetapi kambing yang memilih untuk bersendirian berdepan risiko diterkam
serigala," katanya.
Haron yang tidak pernah memenangi sebarang kerusi dalam mana-mana
pilihan raya berkata, dengan berpisah daripada kumpulan utama, mereka
bukan saja menyebabkan perpecahan parti, malah gerakan Islam.
"Tindakan mereka hanya akan menguntungkan musuh," katanya.
Beliau bagaimanapun tidak menamakan "musuh" yang dirujuknya itu.
G-18 dilaporkan sedang mempertimbangkan beberapa pilihan politik selepas
mereka disingkirkan secara berkumpulan oleh perwakilan PAS yang
bermuktamar di Kuala Selangor pada 4 hingga 6 Jun lalu.
Sebagai ganti, kumpulan konservatif menguasai seluruh jawatankuasa pusat serta sayap PAS.
Satu-satunya pemimpin progresif yang memenangi pemilihan itu, Mazlan Aliman, juga kemudian meletak jawatan.
Haron berkata, kekalahan dalam pemilihan lalu bukan bermakna ahli PAS
mahu menghalau mereka, sebaliknya pemimpin terbabit sendiri mahu keluar
dari parti berkenaan.
Sementara itu mengulas teguran berkenaan bekas Timbalan Presiden PAS
Mohamad Sabu berkata, beliau dan rakan-rakan yang lain mengambil kira
semua ingatan, teguran dan kecaman dibuat
pimpinan parti berkenaan.
"Sebarang peringatan, teguran dan kecaman, saya dan rakan-rakan akan
mengambil kira dan akan bincang secara halus dan terperinci sebelum
langkah-langkah seterusnya diambil," katanya dalam kenyataan dibuat hari
ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan