Persatuan ANAK Peneroka Felda Kebangsaan( ANAK) amat bersimpati dengan apa yang diluahkan oleh seorang pengguna laman sosial facebook yang bernama Zurina Amnan mengenai Penyata Hutang yang disediakan Techno Plant berjumlah RM146,502.32 dan tidak termasuk pinjaman baiki rumah sebanyak RM40 ribu.
Hakikatnya, inilah antara isu besar yang saya dan peneroka bangkitkan sekian lama. Saya masih menyimpan begitu banyak resit penyata Tanam Semula Peneroka yang menyatakan kedudukan hutang mereka.
Setakat ini mengikut rekod saya, ada peneroka menanggung hutang tanam berjumlah RM157 ribu. Waktu itu Datuk Ahmad Maslan menjadi Timbalan Menteri di JPM yang menyelenggara felda, dimana saya telah bangkitkan betapa tidak 'masuk akal' hutang yang begitu tinggi.
Banyak aduan mengenai hutang peneroka telah saya kemukakan kepada Felda. Dalam kes Gugusan Trolak di Perak umpamanya, ia sampai ke peringkat Laporan Polis apabila peneroka hilang sabar mengenai jumlah hutang yang 'mengarut'. Akhirnya, ia dapat diselesaikan dan penyata baru dikeluarkan.
Bahkan, isu hutang peneroka saya muatkan secara berfakta dalam buku saya, Felda...Dulu Tolong Sekarang Along, namun saya di saman kononnya membuat fitnah terhadap Felda.
Ada beberapa point penting jika kita meneliti Kos Tanam Semula peneroka. Sebahagian besarnya terkandung dalam Perjanjian Tanam
Semula dan Pengurusan Kebun antara Felda dengan Peneroka. Antaranya pinjaman sara hidup atau pendahuluan pendapatan, penyelenggaraan kebun, kos baja yang mahal dan pulangan pendapatan yang sepatutnya di nikmati peneroka.
ANAK telah menubuhkan Jawatankuasa Menangani hutang peneroka yang di pengerusikan oleh Sdr Abd Rahman Ramli, Pengerusi Badan Kebangkitan Peneroka Kebangsaan(BANGKIT). Aduan, memorandum hingga kepada SUHAKAM dan YAB Perdana Menteri telah dilakukan.
Kepedihan dan sakit hati peneroka lebih terasa apabila hutang bertimbun, manakala kebun tidak diselenggara dengan sempurna.
Ada kes yang saya lawati sendiri, kebun belum di tanam sawit tapi hutangnya sudah puluhan ribu!
Saya merayu kepada Pengarah Besar yang baru, Dato' Hanapi Suhada, agar isu hutang peneroka dijadikan fokus utama. Terdapat 95 ribu peneroka yang menyerahkan urusan tanam semula samada melalui Felda dan Techno Plant. Tubuhkan suatu jawatankuasa khas yang membabitkan berbagai pihak agar mekanisma tertentu dapat di lakukan bagi mengurangkan hutang peneroka. Buat semakan semula secara detail dan mansuhkan kos2 yang tidak wajar.
Berkali kali saya telah buat kenyataan agar Kerajaan campur tangan dan mengumumkan pemotongan dengan kadar tertentu atas hutang peneroka. Atas faktor usia peneroka yang telah lanjut, kemudiannya di bebankan dengan hutang yang tinggi, ia bebanan yang menjadi derita peneroka hingga ke akhir hayat.
Untuk mansuhkan hutang tersebut, implikasi kewangan amat tinggi dan Felda tidak mampu menyerapnya.
Namun, jika YAB Perdana Menteri prihatin dan menghargai jasa dan pengorbanan para peneroka, beliau boleh umumkan 'bahawa hutang peneroka dikaji semula. Sebagai permulaan sebagai insentif hariraya, pemotongan hutang sebanyak 25% di lakukan berkuatkuasa 1 Ogos ini'
Ianya akan menjadi hadiah istimewa peneroka menjelang Hari Raya!
MENERAJUI PERUBAHAN
(*) Mazlan bin Aliman Presiden ANAK
Tiada ulasan:
Catat Ulasan