MALAYSIAKINI
Persatuan Syarikat-syarikat Konsesi Lebuh Raya Malaysia (PSKLM) bersedia
mengadakan perbincangan dengan kerajaan untuk memohon kenaikan kadar
tol di beberapa lebuh raya di negara ini.
Yang Dipertuanya, Datuk Ir Zainudin A. Kadir berkata keperluan kenaikan
kadar tol ini wujud bukan hanya kerana ia adalah ketetapan jadual
berkala yang dipersetujui dalam Perjanjian Konsesi, tetapi juga untuk
memberikan perkhidmatan yang selamat dan selesa kepada pengguna lebuh
raya.
"PSKLM mengulangi komitmen untuk menyediakan perkhidmatan dan fasiliti
terbaik untuk pengguna serta menyelenggara kemudahan lebuh raya yang
sedia ada.
"Kami percaya ia boleh dilakukan tanpa menimbulkan implikasi bebanan
kewangan kepada kerajaan atau kesemua rakyat Malaysia dengan menggunakan
konsep 'user pay', iaitu pengguna yang menggunakan kemudahan itu sahaja
yang dikenakan bayaran," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Kerja Raya Datuk
Seri Fadillah Yusof, yang disiarkan portal Free Malaysia Today pada 24
Jun bertajuk 'Kerajaan Belum Putuskan Kenaikan Tol'.
Menurut Fadillah, Kabinet belum lagi membuat sebarang keputusan mengenai
kenaikan kadar tol dan sebarang keputusan adalah dengan mengkaji
kesannya kepada kedudukan kewangan negara.
Zainudin berkata anggota PSKLM akan terus berusaha untuk memperkenalkan
pelbagai inisiatif dalam memberi lebih nilai tambah kepada orang ramai
khususnya kepada pengguna lebuh raya.
"Inisiatif tersebut bertujuan untuk membantu orang ramai membuat
penjimatan apabila menggunakan perkhidmatan lebuh raya seperti pemberian
rebat tol, diskaun tol dan lain-lain.
"Bersempena dengan musim perayaan Hari Raya Aidilfitri yang akan datang,
rebat serta diskaun kadar tol akan diperkenalkan oleh sebahagian
anggota kami dan maklumat lanjut akan diumumkan oleh syarikat
masing-masing.
"PSKLM akan terus berusaha memastikan syarikat konsesi meningkatkan
tahap perkhidmatan mereka termasuk menaik taraf kemudahan di lebuh raya
di samping mencari pendekatan untuk menaikkan kadar tol," katanya.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan