MALAYSIAKINI
Kerajaan Pulau Pinang tidak harus mempersoalkan rancangan pembinaan
rumah di bawah Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) sedangkan pelan rumah
kos rendah, sederhana rendah dan mampu milik yang dikemukakan untuk
dibina di negeri ini hampir dua tahun lalu, masih tidak diluluskan.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Seri Zainal Abidin Osman
berkata sehingga hari ini, kelulusan pelan projek pembinaan sebanyak
9,500 unit rumah kos rendah dan mampu milik oleh agensi kerajaan pusat,
masih tertangguh.
Justeru, beliau menyeru kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP agar tidak
terus melengah-lengahkan pelan pembinaan 9,500 unit rumah mampu milik
berkenaan yang dikemukakan agensi kerajaan Persekutuan, JKP Sdn Bhd dan
Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda).
"Tidak ada satu unit pun diluluskan tahun lepas dan tahun ini. Kita
sudah tunggu satu setengah tahun tanpa sebarang kelulusan," katanya
kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa di Umno Bahagian Bayan
Baru, malam tadi.
Zainal Abidin berkata exco Perancangan Bandar, Desa dan Perumahan Negeri
Jagdeep Singh Deo kerap mempersoalkan mengenai pelan perumahan PR1MA,
sedangkan rancangan membina 9,500 unit rumah yang dikemukakan, hampir
dua tahun lalu itu tidak mendapat perhatian.
Beliau menjelaskan rancangan PR1MA adalah di bawah fasa ketiga yang
bakal memanfaatkan 35,000 rakyat dan ia tidak dapat dilaksanakan kerana
pelan fasa pertama yang melibatkan 9,500 unit masih tertangguh.
"Kita tunggu pelan fasa pertama diluluskan dulu sebelum melaksanakan
fasa kedua yang akan membabitkan 25,000 unit rumah dan seterusnya fasa
ketiga (PR1MA).
"Lulus dulu pelan fasa pertama sebelum bercerita pasal PR1MA (fasa
ketiga) yang masih dalam perancangan yang dibuat untuk kepentingan
rakyat Pulau Pinang," katanya.
Zainal Abidin turut menyuarakan kekesalan dengan sikap kerajaan negeri
yang sentiasa memberi alasan untuk tidak meluluskan projek yang
dikemukakan dengan menyatakan pelan tersebut tidak mengikut syarat.
"Sewaktu kita mohon bawah JKP untuk 9,500 unit, mereka kata tak boleh
lulus kerana pelan tidak ikut syarat. Jadi pelan bagi lapan daripada 15
projek telah dipinda, tetapi sampai sekarang tak diluluskan," katanya.
Zainal Abidin berkata kerajaan negeri sekali lagi bertindak
melengah-lengahkan kelulusan projek berkenaan dengan menyatakan JKP
berhutang sebanyak RM500,000 dengan Majlis Bandaraya Pulau Pinang ekoran
insiden runtuhan penebat kilat bangunan UMNO di Jalan Macalister, dua
tahun lepas.
"Kerajaan negeri mendakwa MBPP terpaksa baiki kerosakan jalan dan pasang
jeriji di atas bangunan yang rosak demi keselamatan awam yang kos hanya
mungkin RM100,000. Mereka kata kena bayar dulu (RM500,000) baru lulus
pelan," jelasnya.
Bagaimanapun, menurut Zainal Abidin 'hutang' berkenaan telah
dilangsaikan namun pelan masih tidak diluluskan dan pihaknya seakan-akan
dipermain-mainkan kerajaan negeri yang sering mencari masalah dan
bukannya penyelesaian.-Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan