Khamis, 25 Jun 2015

Mangsa banjir Kelantan terima rumah

THE RAKYAT POST


rumah prudence
Yayasan Prudence menyumbangkan rumah yang telah disiapkan kepada mangsa banjir di Kelantan - Foto ihsan Prudence 



KUALA LUMPUR - Sejumlah 14 buah keluarga yang kehilangan rumah ekoran bencana banjir teruk Disember tahun lalu bakal menyambut Aidilifitri di rumah baru mereka.


Rumah baru ini berjaya disiapkan dalam tempoh empat bulan hasil bantuan sukarelawan dari Prudence Faoundation bersama perusahaan sosial EPIC Homes.

“Walaupun bantuan kewangan segera amat penting sewaktu bencana alam, Prudence Foundation berusaha memanjangkan usaha kami untuk membantu masyarakat yang terjejas supaya mampu menjalani semula hidup seperti sediakala dengan secepat mungkin.

“Apabila banjir melanda Pantai Timur – antara yang terburuk dalam sejarah Malaysia – ia bukan persoalan sama ada kita perlu membantu tetapi bila dan bagaimana bantuan dapat dihulurkan,” kata Pengarah Eksekutif Prudence Foundation, Marc Fancy.

“Kami berterima kasih kepada rakan kami di EPIC Homes atas usahasama ini yang bukan saja membolehkan kami membina semula rumah mangsa banjir malah turut memberikan mereka harapan seterusnya membawa perubahan.”

Rumah berkenaan dibina dalam tempoh sebulan melibatkan 380 orang sukarelawan dan telah siap pada 11 Jun yang lalu.

Setiap rumah dikatakan mengambil masa empat hari untuk disiapkan.

Rumah yang dibina menelan belanja sebanyak RM1 juta dan ditaja sepenuhnya oleh Prudence Foundation.

Rumah berkenaan direka oleh EPIC dengan menitik beratkan ciri-ciri kemampanan dan ketahanan untuk menghadapi banjir.

“Setiap rumah dua tingkat yang dibinan mampu bertahan dalam keadaan banjir setinggi 1.2 meter dengan menggunakan sistem asas yang lebih kukuh,” memetik kenyataan Marc Fancy.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob juga dikatakan telah melawat kawasan kampung berkenaan dan mengucapkan terima kasih atas bantuan yang dihulurkan kepada rakyat negeri Kelantan itu.

Banjir besar hujung tahun lalu merupakan banjir yang terburuk di dalam sejarah Malaysia yang mana ianya turut meragut nyawa manusia.

Bagaimanapun, tidak smeua dari mangsa banjir di Kelantan yang kini mempuyai kediaman setelah rumah mereka musnah dibawa arus deras banjir.

Ada diantara mangsa-mangsa banjir yang masih lagi berteduh di dalam khemah dan menyambut Ramadan tanpa rumah.


Tiada ulasan: