SERI KEMBANGAN: Dua lelaki maut ditembak ketika sedang menghantar kad
undangan di hadapan sebuah kedai kopi di Jalan Serdang Jaya 2/20, Seri
Kembangan, Selangor, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Serdang Daerah ACP Razimi Ahmad berkata kejadian
yang berlaku pada pukul 9.20 malam itu melibatkan seorang ejen insurans
dan seorang mekanik kereta, kedua-duanya berumur 25 tahun.
Beliau berkata kedua-dua mangsa yang menunggang motosikal ketika itu
dalam perjalanan hendak menghantar kad undangan perkahwinan mangsa yang
bekerja sebagai mekanik, namun tiba-tiba telah dihalang sebuah motosikal
yang ditunggangi dua individu tidak dikenali.
"Suspek melepaskan sebanyak lima das tembakan jarak dekat ke arah kedua-dua mangsa.
"Mangsa pertama telah ditembak pada bahagian dada dengan dua das
tembakan, manakala mangsa kedua telah ditembak di bahagian perut,"
katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.
Razimi berkata suspek yang berpakaian t-shirt hitam kemudian melarikan
diri dan hasil siasatan di tempat kejadian, polis menemukan 5 kelongsong
peluru berhampiran dengan motosikal mangsa.
"Suspek tidak dikenal pasti kerana memakai topi keledar berpenutup
penuh. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana
membunuh dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah
siasat," katanya.
Sementara itu, seorang rakan baik mangsa, M. Murali, 27, berkata hajat
kawan baiknya berkahwin pada 4 Julai ini tidak kesampaian akibat
kejadian itu.
"Saya mengenali kedua-dua mangsa sebagai seorang yang peramah dan ramai
kawan... saya tidak sangka bahawa mereka mempunyai musuh," katanya.
Seorang lagi saksi kejadian iaitu pemilik sebuah kedai makan yang
dikenali sebagai Chong, 37, berkata beliau terdengar beberapa das
tembakan ketika sedang sibuk melayan pelanggan.
"Saya terlihat dua orang suspek melarikan diri selepas melepaskan
tembakan ke arah mangsa namun tidak dapat melihat muka suspek kerana
keadaan ketika itu gelap," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan