Sabtu, 6 Jun 2015

Bukan Islam pun sokong ulama Pas

Muktamar Pas Para perwakilan mula memenuhi Stadium Tertutup Kuala Selangor sebelum bermulanya Muktamar Tahunan Pas ke 61. - Foto Sinar Online oleh FATIN ATHIRAH HASLI
 
 
KUALA SELANGOR - Orang bukan Islam pun boleh mendukung apa yang kepimpinan ulama perjuangkan sampai ke hari ini, jadi malulah kita kalau orang Pas tidak sokong dasar kepimpinan ulama," demikian ujar Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamed.

Kata beliau lagi, hasrat Pas untuk melaksanakan hudud akan lebih cepat dilaksana dengan sokongan orang bukan Islam.

"Ramai orang bukan Islam yang diluar sana begitu mahir tentang undang-undang hudud sehingga mereka boleh menyampaikan ceramah mengenai hudud.

"Malulah kalau orang Islam tidak faham lepas itu menentang pula hukum hudud. Hukum hudud ini wajib dilaksanakan.Kita orang Islam wajib setuju. Kalau tidak setuju pun diam-diam sahaja, jangan cakap apa-apa," katanya dalam ceramah umum di Stadium Kuala Selangor, malam tadi.

Beliau dalam pada itu menyarankan masyarakat khususnya orang Islam mengambil kelas pengajian bagi mendalami ilmu Islam secukupnya.

"Hadirlah ke masjid, majlis-majlis ilmu yang rasmi dan tidak rasmi untuk memahami hukum Islam dan hudud. Jika sudah faham, mesti akan sokong juga akhirnya.

"Di universiti-universiti tempatan pun terdapat banyak kursus pengajian yang menawarkan kelas hujung minggu. Ambillah (Ikuti) kelas pengajian tersebut untuk mendalami ilmu berkaitan agama dan Islam itu sendiri," katanya lagi.

Tiada ulasan: