Rabu, 20 Mei 2015

Kanak-kanak lemas main di longkang

MALAYSIAKINI


Keseronokan lima kanak-kanak mandi di dalam longkang bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka dihanyutkan arus deras di Taman Desa Tebrau di Johor Bahru petang semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan, ACP Sulaiman Salleh berkata mayat Mohd Danish Hakim Mohd Yazid, 11, ditemui pihak bomba kira-kira pukul 6.30 petang setelah sejam usaha mencari dan menyelamat dilakukan.

"Mangsa bersama empat rakannya sebelum itu mandi dan bermain hujan di sebuah longkang di Jalan Harmonium, Taman Desa Tebrau.

"Menyedari air semakin naik dan deras, mereka telah naik ke tebing. Namun mangsa turun semula ke dalam longkang untuk menguji kedalaman dan kederasan air, sebelum dia dihanyutkan arus," katanya.

Sulaiman berkata sewaktu kejadian hujan turun dengan lebat dan air longkang sedalam 1.2 meter.

"Mayat mangsa ditemui kira-kira empat kilometer dari tempat kejadian dan telah dibawa ke Hospital Sultan Ismail untuk dibedah siasat," katanya.

Sementara itu, seorang lelaki warga Bangladesh mati selepas bergaduh di sebuah restoran di Persiaran Pulai Baru 1, Kampung Kepayang, Simpang Pulai di Ipoh semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah (Operasi) Supt Anuar Othman berkata mangsa berumur 43 tahun bersama dua rakannya minum di restoran berkenaan sebelum berlaku pergaduhan antara mereka.

Beliau berkata polis menerima maklumat kejadian pada pukul 6.45 petang dan menemui mangsa yang memiliki taraf penduduk tetap dalam keadaan terlentang di kaki lima restoran itu.

"Mangsa mati di tempat kejadian dan pemeriksaan mendapati terdapat kesan ketukan menggunakan objek keras di bahagian kepala mangsa," katanya kepada pemberita semalam.

Anuar berkata polis sedang mengenal pasti motif pergaduhan dan tidak menolak kemungkinan kejadian itu melibatkan lebih daripada dua individu.

Katanya polis telah menahan pemilik restoran itu untuk siasatan lanjut.

"Orang ramai termasuk pelanggan yang melihat kejadian diminta tampil menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran," katanya. - Bernama


Tiada ulasan: