Khamis, 21 Mei 2015

Adakah gertakan Pandikar akan buat Najib laksanakan reformasi ?




Oleh Alyaa Alhadjri


Tanggungjawab kini berada di bahu Perdana Menteri Najib Razak, untuk memenuhi janji-janjinya melaksanakan pembaharuan Parlimen, atau menghadapi risiko kehilangan seorang lelaki yang setakat ini telah dapat mengelakkan Dewan Rakyat daripada menjadi lebih huru-hara dan seterusnya kehilangan kewibawaannya di mata rakyat.

Kini dalam tahun ketujuh sebagai Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia akhirnya telah muak dipersalahkan bagi perkara-perkara yang sering berada di luar bidang kuasanya seperti yang dinyatakan di bawah Peraturan Mesyuarat, dan cara Parlimen diuruskan dengan campur tangan oleh cabang eksekutif.

Beliau berhujah yang ini adalah bertentangan dengan doktrin pengasingan kuasa yang tersirat dalam Perlembagaan.

"Kalau apa yang saya sebut tidak ditunaikan eksekutif dalam tempoh sebelum Parlimen dibubar balik, saya akan hantar balik peletakan jawatan.

"Tidak perlu orang lain mengumumkan speaker meletakkan jawatan. Kalau perdana menteri tidak menerima peletakan jawatan saya, saya sendiri yang akan mengumumkan peletakan jawatan saya,” jelas Pandikar, yang dipetik oleh portal berita The Malaysian Insider.

Pada 19 Mei, Pandikar telah telah mengadakan sebuah sidang akhbar di kediaman rasminya untuk menjelaskan mengenai khabar angin peletakan jawatannya, seperti yang terlebih dahulu didakwa oleh bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad dalam sebuah forum di Ipoh pada hujung minggu lalu.

Antara lain, beliau mengakui telah menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Najib dalam sebuah pertemuan di Parlimen pada 19 Mac, di bawah nasihat daripada Mahathir yang beliau telah temui pada 13 Mac.

Najib bagaimanapun enggan membuka surat Pandikar itu, dan sebaliknya bersetuju terhadap cadangan beliau untuk menambahbaik prosiding Parlimen.  

"Najib ketika itu jangan bilang dia membaca surat saya. Dia tidak mahu terima, pegang pun dia tidak mahu.

"Sebaliknya dia tanya apa sebenarnya permasalahanmu sebagai speaker," Pandikar dipetik sebagai berkata, sambil menambah bahawa Najib juga pada April lalu telah membawa isu tersebut ke mesyuarat Kabinet yang secara kolektif telah bersetuju untuk menambahbaik urusan parlimen. 

Pandikar pada mulanya menafikan dakwaan Mahathir dan menuduhnya hanya memberitahu "sebahagian kebenaran" mengenai butiran perbincangan mereka.

Mahathir bagaimanapun menegaskan bahawa beliau bercakap benar dan mendakwa bahawa rasa tidak puas hati Pandikar itu "mungkin ada kaitan dengan perabot di pejabatnya."

"Sebagai Speaker Dewan, beliau telah menerima ramai tetamu VIP. Dan mereka datang ke biliknya. Dan bilik itu agak lusuh.

"Bagaimana ini boleh berlaku? Mungkin perabot tidak diberikan dan ini adalah sebab beliau mahu meletak jawatan," Mahathir dipetik sebagai berkata.

Namun ada baiknya untuk tidak percaya bulat-bulat kata-kata bekas PM yang licik dan kuat memerli itu, kerana dia dikenali dengan sindirannya.

Sebagai respon kepada Mahathir, Pandikar bagaimanapun berkata: "Adalah tidak benar perkara yang membawa kesinisan di mana-mana saja kenyataan akhbar yang speaker itu letak jawatan kerana merajuk tiada tandas atau perabot tidak sesuai dengan taraf Parlimen adalah tidak betul.”

"Saya meletak jawatan atas niat saya mahu memartabatkan Parlimen Malaysia setaraf Parlimen kelas pertama di dunia," kata Pandikar seperti yang dipetik The Malaysian Insider. 

Antara lain, telah dilaporkan bahawa permintaan Pandikar kepada Najib termasuk pemansuhan kedudukan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab bagi hal ehwal Parlimen.

Menurut Pandikar, langkah ini akan menangani tanggapan semasa orang ramai bahawa terdapat sedikit atau langsung tiada pengasingan kuasa antara cabang eksekutif dan perundangan kerajaan.

Bagi menangani batasan dalam proses merangka dan membahaskan perundangan di dalam Dewan, Pandikar turut mencadangkan supaya satu Jawatankuasa Khas Parlimen baru ditubuhkan, selain daripada lima jawatankuasa khas sedia ada. 

Isu-isu menyelubungi cara rang undang-undang digubal, dibentang dan diluluskan di Parlimen telah didengari dari kedua-dua bangku kerajaan dan pembangkang, selepas sebuah rekod telah dibuat melalui perbahasan selama 14 jam yang berlangsung sehingga hampir fajar pada hari terakhir sesi semasa.

Sementara itu, penganalisis politik Khoo Kay Peng memberitahu Semut Harian yang Pandikar sendiri perlu memimpin untuk memastikan bahawa proses demokrasi di Parlimen ditambah baik, sewaktu beliau menunggu Najib untuk mengotakan janji-janjinya.

"Hanya tiga hari telah berlalu dalam persidangan parlimen bagi sesi ini, dan Pandikar telah menolak dua usul tergempar, mengenai perjanjian tanah 1MDB Tun Razak Exchange-Tabung Haji dan isu pelarian Rohingya.

"Ini adalah perkara-perkara yang pembuat-pembuat dasar perlu digalakkan untuk bahaskan secara bi-partisan," kata Khoo. 

Khoo juga berkata yang orang ramai mengiktiraf keupayaan Pandikar sebagai Speaker untuk mengekalkan peraturan di kalangan penggubal undang-undang di Dewan Rakyat, yang kebanyakannya lebih cenderung bertekak antara satu sama lain dan bukannya menjalankan tugas mereka sebagai wakil rakyat.

Di sebalik penjelasan Pandikar ini, terdapat pihak yang menegaskan bahawa keputusannya telah dicetuskan oleh ketiadaan tandas di pejabatnya.

Sehingga kini, kelihatannya Pandikar mungkin sukar untuk mendapatkan sokongan daripada ahli-ahli parlimen sendiri, tetapi beliau harus terus mendesak Najib agar memenuhi permintaan beliau bagi reformasi sebenar terhadap Parlimen.

Sudah pasti dengan Najib bertungkus-lumus mahu kekal berkuasa di sebalik kritikan-kritikan Dr Mahathir, beliau mungkin cukup terdesak sehinggakan Pandikar dapat mendesak supaya pembaharuan ini dapat dilaksanakan, dengan menggunakan ancaman kekacauan di Parlimen.

Tetapi janji-janji pembaharuan Najib perlu diterima oleh Pandikar secara berhati-hati, kerana beliau sebelum ini telah mengingkari janji-janji seperti pemansuhan Akta Hasutan.


Tiada ulasan: