MALAYSIAKINI
Ketua penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan tindakan kerajaan
menaikkan harga minyak RON95 dan diesel sebanyak RM0.20 tengah malam
tadi sedangkan harga minyak mentah dunia terkini mengalami penurunan
mencecah USD90.73 setong.
Berdasarkan semakan yang dilakukannya juga, ahli parlimen Pokok Sena
turut mendapati harga minyak mentah dunia pada Julai berharga USD103
setong.
Kecewa dengan tindakan terkini kerajaan, Mahfuz berkata tidak sewajarnya
kerajaan bertindak merasionalisasi subsidi petrol sewaktu rakyat boleh
menikmati "berita gembira" ekoran penurunan harga minyak mentah dunia.
"Saya
minta kerajaan memberi penjelasan mengapa harga minyak dunia jatuh,
tetapi secara tiba-tiba kerajaan menaikkan harga minyak di negara ini.
"Sepatutnya kejatuhan (harga minyak dunia) itu memberi berita gembira (kepada kita)," katanya ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini.
Berdasarkan situasi semasa, pesuruhjaya PAS Kedah turut meramalkan harga
pasaran minyak mentah dunia akan menurun lagi pada masa akan datang.
Mahfuz turut mempersoalkan kualiti minyak diesel negara "tidak mencapai"
tahap standard antarabangsa yang ditetapkan pada kadar "Euro 5"
sedangkan kini berada di tahap "Euro 2".
"Jadi kedua-dua Malaysia tak ikut (standard). Harga tak turun walau
harga minyak mentah dunia turun dan tak ikut kualiti minyak
antarabangsa," katanya yang juga ketua whip PAS di parlimen.
Mahfuz bersetuju dengan kenaikan minyak akan meningkatkan kenaikan harga
barang dan inflasi sekalipun kerajaan menaikkan peruntukan Bantuan
Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan dijangka memberi bonus kepada penjawat awam.
"Walaupun BR1M akan ditambah dan bonus diberikan, tapi ia tak diberikan
setiap bulan. Ia tidak mengubah dan memberi kesan kepada penurunan kos
sara hidup," katanya.
Harga petrol RON95 dan diesel akan naik 20sen seliter menjadikan harga pasaran kini RM2.30 seliter dan diesel pula RM2.20.
Tergesa-gesa, kata Pemuda PAS
Sementara itu, Pemuda PAS pula menganggap tindakan kerajaan menaikkan
harga minyak sebagai tindakan tergesa-gesa dan tidak memberi peluang
kepada rakyat memberi pandangan balas.
Sayap kanan parti Islam itu juga mempersoalkan sama ada kerajaan sudah
kering idea dengan menaikkan harga minyak untuk menampung perbelanjaan
negara.
“Harga
minyak adalah domino buat harga barang keperluan lain. Jika harga
minyak naik bererti harga barangan lain akan turut naik,” kata ketuanya
Suhaizan Kaiat (kanan).
“Mustahil kerajaan mampu mengawal kenaikan harga barang keperluan kerana
sebelum ini pun harga barang tetap naik melambung walaupun telah diberi
jaminan penguatkuasaan dan pemantauan ketat kerajaan terhadap peniaga
dan pembekal.”
Dalam kenyataannya hari ini, Suhaizan juga berkata Bantuan Rakyat
1Malaysia (BR1M) yang diberikan kerajaan hanya seperti melepas batuk di
tangga kerana ia sekadar bantuan jangka pendek.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan