PETALING JAYA: Berita memeranjatkan apabila penyampai radio Sinar FM
iaitu Najman Mohamed telah dipecat daripada stesen radio itu
berkuatkuasa 11 Julai lalu.
Najman, 44, yang bekerja secara kontrak saluran radio itu berkata, dia
terkejut dengan tindakan pihak pengurusan Astro Radio yang membuat
keputusan tersebut tanpa memberi sebarang alasan kukuh sebab-sebab
pemecatannya.
"Benar, saya sudah diberhentikan pada 11 Julai lalu dan saya tidak tahu punca sebenar mereka bertindak begitu.
"Mereka hanya memberi alasan kononnya saya tidak memberi khidmat
cemerlang dalam stesen itu sedangkan sudah 10 tahun saya bersama Sinar
FM," katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada Jumaat.
Dalam pada itu, Najman berkata rakan-rakan seangkatannya juga terkejut
dengan perkara tersebut dan dia kini sedang mencari punca kenapa pihak
pengurusan stesen radio itu bertindak sedemikian.
"Setakat ini , ada beberapa rakan yang memberikan cadangan untuk saya
cari sebab saya diberhentikan. Kalau boleh saya akan usahakan sebelum
sambutan Aidilfitri ini.
"Tidak kisahlah apa hasilnya nanti, sekurang-kurangnya saya berusaha untuk mendapatkan semula pekerjaan saya.
"Saya pun tidak pasti adakah perlu untuk mengambil tindakan
undang-undang terhadap mereka. Seharusnya pihak pengurusan berbincang
dahulu dengan saya sekiranya reputasi kerja saya tidak mencapai piawaian
yang ditentukan," ujarnya.
Sementara itu, Najman menyifatkan kejadian yang berlaku kepadanya
lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan ini mungkin mempunyai hikmah di
sebaliknya walaupun berasa risau kerana isterinya kini sedang hamil dua
bulan.
"Saya reda dengan apa yang sudah berlaku. Mungkin Tuhan beri rezeki
anak, Dia tarik rezeki lain. Mujurlah saya dan isteri ada pendapatan
lain dengan menjalani perniagaan secara kecil-kecilan," tuturnya.
Najman memulakan karier separuh masa sebagai penyampai radio di stesen
Best 104 FM pada tahun 1989 dan diserap sebagai penyampai tetap pada
1991.
Setelah berkhidmat lebih kurang lapan tahun, Najman telah ke saluran
radio Era FM dan kemudian dipindahkan ke Sinar FM pada tahun 2004.
Najman mengendalikan segmen Senandung Malam (8 malam hingga 12 tengah malam) bersama deejay Jamal Jamaluddin.
Sementara itu Pengurus Saluran Sinar FM, Rizal Sahimy yang dihubungi
mStar Online> tidak dapat memberi jawapan berhubung perkara itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan