Khamis, 31 Julai 2014

ADUN PAS gesa pemimpin pastikan parti tidak keluar daripada Pakatan

 Oleh Nur Shakira Buang

 
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Seorang pemimpin PAS Selangor hari ini melahirkan harapan kepimpinan parti itu akan menggunakan kebijaksaan  bagi memastikan PAS  kekal dalam Pakatan Rakyat bersama PKR dan DAP di samping mengatasi kemelut Menteri Besar Selangor. 
 
ADUN Hulu Kelang Saari Sungib berkata setahu beliau, semua pimpinan PAS sebulat suara untuk kekal dalam Pakatan Rakyat namun mengakui perbezaan pandangan pimpinan PKR dan PAS harus diatasi. 
 
"Pimpinan mengatakan kita akan terus bersama PR namun perbezaan pandangan itu patut diselesaikan pada tahap semua peringkat ikut kebijaksanaan semua peringkat dan berharap kebijaksanaan itu terus dikekalkan," katanya kepada Antarapos
 
"Tidak ada mana-mana pemimpin PAS mana-mana peringkat mengatakan PAS akan bersendirian, tak ada. Semua mengatakan kita akan bersama Pakatan Rakyat," tegasnya.
 
Saari akur kepada hakikat parti itu tidak boleh menggenggam kuasa politik seperti sekarang jika ia keluar daripada Pakatan Rakyat. 
 
ADUN Hulu Kelang itu berkata sejarah membuktikan PAS memperolehi kejayaan terbesar apabila  bergading dengan parti pembangkang lain menerusi Barisan Alternatif dan kemudiannya Pakatan Rakyat. 
 
Beliau mengulas ramalan DAP Selangor bahawa PAS berkemungkinan kalah teruk di Selangor jika parti itu keluar daripada Pakatan Rakyat dan menghadapi pilihan raya negeri mengejut jika bertegas mahu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dikekalkan sebagai Menteri Besar. 
 
"Kalau PAS tanding sendiri pun memang payah nak menang.  Kita sedar itu sebab itu kita dari awal-awal bersama-sama Barisan Alternatif. Kemudian bila DAP keluar pun kita kekalkan Barisan Alternatif ini pada pilihan raya 2008 dan bila menang rakyat nak PR bergabung," kata beliau.
 
" Pada pilihan raya  2013 PAS memang banyak kerusi apabila bersama-sama PR," kata Saari kepada Antarapos.
 
Beliau meredakan kebimbangan DAP bahawa parti itu cenderung untuk menarik keluar daripada Pakatan kerana mahu Khalid terus memimpin Selangor walaupun beliau ditolak oleh partinya sendiri, PKR dan DAP.
 
"Sehingga kini komitmen kami (dan) saya sebagai ADUN dan ADUN PAS akan terus mengukuhkan PR dan tak berhasrat untuk bertanding sendiri-sendiri," katanya.
 
Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua hari ini memberi amaran Barisan Nasional berkemungkinan merampas kembali Selangor daripada Pakatan Rakyat jika pilihan raya negeri mengejut diadakan. 
 
Beliau memberi amaran perpecahan Pakatan Rakyat boleh menyebabkan PAS kalah di kebanyakkan daripada 15 kerusi DUN yang disandang sekarang. 
 
Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang, Majlis Ulama dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat bertegas mahu Khalid terus menjadi Menteri Besar dan menolak cadangan PKR yang mahu menggantikannya dengan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
 
Kemelut itu berpaksi kepada keengganan PAS menyokong  hak PKR menentukan calon Menteri Besar walaupun parti itu (PKR) menerajui kerajaan negeri Selangor sejak 2008.  
 
Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad ketika dihubungi Antarapos enggan mengulas ramalan Pua itu kerana diarahkan oleh parti untuk kunci mulut. 
 
"Tak boleh komenlah sebab semalam dah dapat arahan, kalau buat kenyataan akan dikenakan tindakan. Kita tak boleh komen sebab setiausaha agung kata tak boleh komen," katanya ketika dihubungi Antarapos.       
 
Sementara itu, Saari ketika diminta mengulas berhubung tindakan yang bakal dikenakan terhadap Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan, Dr Mohd Zuhdi Marzuki di atas kesan tulisan beliau dalam WhatsApp AJK PAS Pusat beliau berkata PAS Pusat wajar memberi penjelasan berhubung perkara tersebut.
 
"Atas kebijaksanaan PAS Pusat kita berharap Pusat memberi penjelasan yang sejelas-jelasnya tentang isu tersebut," tambahnya.  
 
Zuhdi dilaporkan membayangkan scenario PAS keluar daripada Pakatan Rakyat dan bersekongkol dengan Umno dan Khalid untuk terus menerajui Selangor. 
 
Beliau dilaporkan berkata  scenario sedemikian akan turut memantapkan kuasa politik Melayu di negeri berkenaan

Tiada ulasan: