MALAYSIAKINI
Pada 1 Syawal, sudah menjadi kebiasaan melihat sebilangan besar rakyat
daripada pelbagai kaum membanjiri Seri Perdana, kediaman rasmi Perdana
Menteri, bagi sambutan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri.
Jumlah pelawat kadang-kala mencecah lebih 100,000 orang pada satu-satu
masa. Walaupun cuaca panas dan jaraknya kira-kira 35 km dari pusat
bandar raya, orang ramai yang biasanya membanjiri Seri Perdana nampaknya
tidak kisah.
Lagipun, bagi pelawat termasuk anggota pembangkang dan rakyat biasa,
inilah peluang keemasan untuk mereka untuk bersalaman dan mengucapkan
Selamat Hari Raya kepada Perdana Menteri dan menteri-menteri kabinet
yang lain secara bersemuka.
Namun tahun ini, tiada kemeriahan kecuali bagi sekumpulan kecil individu
yang diundang khas bagi pertemuan tertutup di kediaman rasmi itu.
Mereka termasuk sanak-saudara yang kehilangan orang tersayang dalam
insiden MH370 dan MH17.
Walaupun ramai yang bersedih bahawa tradisi Rumah Terbuka Aidilfitri
dibatalkan bagi menghormati mangsa yang terkorban dalam tragedi MH370
dan insiden MH17, mereka secara umum bersetuju bahawa pembatalan rumah
terbuka besar-besaran di Seri Perdana adalah amat sesuai.
Selain majlis di Seri Perdana, Pejabat Perdana Menteri juga mengumumkan
pembatalan Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia 2014 anjuran Kementerian
Pelancongan dan Kebudayaan di Rembau, Negeri Sembilan pada 17 Ogos.
Bagaimanapun, sesetengah orang langsung tidak tahu tentang pengumuman
pembatalan majlis itu dan masih berbaris di Seri Perdana pagi tadi,
menurut beberapa orang saksi.
Tan Sri Robert Phang, Pengerusi Yayasan Kebajikan Sosial berkata
pembatalan majlis rumah terbuka menunjukkan bahawa Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Tun Razak prihatin terhadap perasaan sebilangan besar
rakyat.
Beliau menyifatkan perdana menteri sebagai seorang yang amat bersimpati
dan memahami perasaan anggota keluarga yang masih berdukacita atas
kehilangan orang tersayang.
"Anda benar-benar seorang pemimpin yang amat memahami, bertimbang rasa,
penyayang dan mesra yang sentiasa menawan hati rakyat. Keputusan yang
amat tepat pada masanya dan dihargai," kata Phang dalam surat kepada
perdana menteri meminta beliau mengadakan sambutan hanya secara
kecil-kecilan dan kerajaan berbuat demikian.
"Pengulas yang kerap-kali membuat komentari mengenai perkembangan
semasa, Rueben Dudley dari Petaling Jaya berkata, 2014 tercatat sebagai
tahun yang malang bagi Malaysia dan dua tragedi yang menimpa Malaysia
Airlines telah memberi alasan kepada rakyat Malaysia "untuk melupakan
perayaan yang biasanya disambut untuk berkongsi kesedihan orang lain
yang berkabung."
"Itu bukan untuk mengetepikan kesucian dan kepentingan adat dan amalan
mana-mana perayaan. Tetapi, ia adalah sebagai menghormati mereka yang
terkorban dan kehilangan orang tersayang," kata beliau.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata
adalah tidak sesuai untuk rakyat Malaysia berada dalam suasana riang
seperti masa lalu ketika mayat mangsa tragedi MH17 masih disiasat.
"Kami hendak memberitahu dunia bahawa rakyat Malaysia bersatu dan
bersama dalam menghadapi saat-saat kesedihan akibat kehilangan orang
tersayang," kata beliau dan menambah umat Islam yang akan menyambut
Aidilfitri selepas sebulan berpuasa hendaklah menyambutnya secara
sederhana ekoran keadaan.
Apa yang Malaysia lakukan hari ini sudah tentu
memberikan kesan positif kepada kehidupan mereka yang terjejas akibat
tragedi MH17 dan MH370. Syabas Malaysia! -Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan