MOSCOW – RUSIA. Data yang diperoleh daripada kotak hitam MH17 yang terhempas baru-baru ini menunjukkan kapal terbang itu telah ditembak jatuh sehingga menyebabkan berlakunya letupan besar.
Melalui laporan sebuah portal hari ini, kenyataan tersebut didakwa didedahkan oleh jurucakap Majlis Pertahanan dan Keselamatan Ukraine, Andriv Lysenko.
Bagaimanapun pihak berkuasa Eropah yang turut menganalisa data dan maklumat yang terdapat dalam kotak hitam terbabit masih belum membuat sebarang pendedahan setakat ini.
Pesawat MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal termasuk bayi telah disahkan ditembak jatuh pada 17 Julai lalu pada ketinggian 33,000 kaki di udara.
Nahas tersebut telah mengorbankan kesemua nyawa penumpang dan anak kapalnya.
Dalam pada itu, Malaysia kini sedang mengadakan usaha rundingan bagi menggesa Belanda untuk mempercepatkan proses mengecam dan bedah siasat ke atas mangsa bagi memastikan jenazah rakyat Malaysia dapat dibawa pulang secepat mungkin.
Data penerbangan dan perakam suara kokpit pesawat pesawat tersebut direka dan dipasarkan pada pertengahan tahun 1990-an dan ia mungkin akan menyukarkan pasukan penyiasat untuk memperoleh data jelas dan lengkap.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan