MALAYSIAKINI
Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melahirkan
penghargaan kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang atas
sokongan supaya beliau terus menerajui kerajaan Selangor sehingga akhir
penggal pentadbirannya.
Abdul Khalid dalam satu kenyataan hari ini berkata sokongan Abdul Hadi
terhadapnya dilihat amat bermakna dalam memastikan keperluan negeri
Selangor untuk mempunyai suasana politik yang stabil.
Katanya, beliau dan barisan pemimpin negeri akan terus memastikan
manifesto yang dijanjikan kepada rakyat dapat dilaksana menerusi
kecemerlangan pentadbirannya menerajui negeri maju itu.
Abdul Hadi hari ini mempertahankan Abdul Khalid supaya kekal sebagai
Menteri Besar Selangor berikutan beliau tidak pernah khianat dalam
menjalankan amanah kepada rakyat.
Beliau berkata kecemerlangan perkhidmatan Abdul Khalid dalam menerajui
Selangor hingga ke tahap yang lebih baik termasuk mempertahankan
Selangor pada pilihan raya umum ke-13 tidak boleh dinafikan meskipun
terdapat kecelaruan yang ditimbulkan dalam Pakatan Rakyat.
Katanya alasan pihak yang mahu menukar Menteri Besar itu adalah tidak
kukuh dan beliau secara peribadi tidak setuju kerana melihat Abdul
Khalid tidak terlibat masalah besar.
Baru-baru ini, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan
Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang bermesyuarat pada Rabu lepas
menerima cadangan PKR untuk menggantikan Abdul Khalid dan mencalonkan
presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk mengisi jawatan
itu.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan