Ahad, 27 Julai 2014

Lailatulqadar, mencerah jiwa, menurut Hamka




Oleh H FANSURI 


MAKA, tersebutlah perkataan Hamka; seorang ulama’ sasterawan revolusioner yang menurunkan catatan pemikirannya berhubung lailatulqadar itu. Pandangan beliau mengenai ‘keajaiban’ malam yang lebih baik dibanding 1,000 bulan itu adalah sebagai berikut...

“Seorang pemuda merayap (merayau) malam-malam mencari perempuan yang akan dapat diajaknya berbuat jahat, berzina. Tiba-tiba dilihanya di satu rumah lampunya terang dan kedengaran suara perempuan sedang bernyanyi dengan suara yang merdu. Sudah dia tahu bahawa di rumah itu memang ada perempuan cantik tidak bersuami. Pemuda itu menyelinap masuk rumah itu.

Di muka bilik perempuan itu, dia terpeguan melihat rupa perempuan itu yang cantik dan mendengarkan suaranya yang merdu bernyanyi. Rupanya perempuan itu bukan bernyanyi, melainkan membaca Al-Quran dengan sangat khusyuknya.

Tepat didengar oleh pemuda itu, ayat: “Belumkah datang waktunya bagi orangorang yang beriman buat tunduk hati mereka mengingat Allah dan kebenaran yang telah Dia turunkan.” ~ (Surah Al-Hadid: ayat 16) “Seakan-akan kepadanyalah dipukulkan ayat itu.

Padahal wanita itu tidak tahu bahawa ada orang yang mengintipnya.

Telah datang saat itu, suatu saat yang mempunyai nilai lebih dari 1000 bulan. Pemuda itu merasakan dalam lubuh jiwanya dan dalam hati sanubarinya akan adanya iman itu, hanya selama ini diselubungi oleh hawa nafsu. Runtuhlah pada saat itu segala angkara syahwat, timbullah kesedaran malu dan lain-lain perasaan lagi dari kemanusiaannya, dengan langkah lambat, dia pun meluncur turun, dia terus ke masjid dan shalat. Sejak malam itu berbubahlah hidupnya sama sekali, 100%.

“Itulah orang salih yang terkenal Fudhail bin Ayyad. “Di Bukittinggi kira-kira 80 tahun yang lalu, seorang pemuda parewa (jahat) dikejar-kejar orang kira-kira pukul 3 tengah malam.

Dia menyembunyikan diri di tebat di perkarangan sebuah surau. Setelah dicari-cari tidak bertemu. Yang mengejar telah pergi.

Dia terus bersembunyi sampai datang waktu subuh. Tiba-tiba didengarnya azan subuh! Demi setiap kalimat azan itu, laksana dituangkan rasanya ke seluruh jiwaraganya. Telah datang kepadanya saat yang nilainya lebih 1000 bulan.

“Mulai waktu itu, berbubahlah hidupnya. Kepada ayahnya minta dihantar ke Mekah.

Beberapa tahun dia di Mekah, dia pun pulang menjadi Ulama Besar. Itulah Almarhum Syeikh Muhammad Jamil Jambek.”

Tamat catatan Hamka tentang lailatul qadar. Beliau tumpukan ‘keajaiban jiwa’ yang boleh diubah dibanding keajaiban di luar lingkungan jiwa (alam di luar jasad). Maka, pada 10 malam terakhir Ramadan yang diduga datangnya lailatul qadar, apakah keajaiban yang diundang datang ke jiwa kita?

Arakian, ketika menurunkan catatan ini (17 Julai), penulis baru pulang daripada iftar Roketkini, lidah rasmi DAP.

Melayu dan bukan Melayu berbuka puasa sekali. Sebelum berbuka, ada ‘usrah’ mengenai sejarah perjuangan orang kurang upaya. Hal ini mungkin terhitung sebagai keajaiban jiwa bagi Umno.

Malam ini, ada cerita pesawat MH17 terhempas ditembak militan di Ukraine. Banyak sangkaan spekulasi sedang meluru di media internet. Dengan kejadian ini, sedikit demi sedikit, diharapkan ‘keajaiban jiwa’ hinggap di fikiran Najib Razak agar dia bertaubat sehingga tergerak hatinya untuk letak jawatan sebagai PM.

Ya, selepas satu demi satu ujian ke atas insan pada Ramadan ini, umat memukat pengajaran daripada lautan kehidupan dan lemas dalam dakapan rahmat Tuhan. Inilah lailatul qadar untuk mustadh’afin tapi tidak bagi mustakbirin di Putrajaya jika mereka belum menemukan garis-garis kesedaran dan pencerahan jiwa pada hujung Ramadan.

Tiada ulasan: