Selasa, 29 Julai 2014

Ganti MB: Khalid Ibrahim masih mahu tawar menawar?

Oleh Lokman Ramlee

 
Post Pic



[ULASAN] Sampai saat-saat genting minggu depan, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim masih enggan berganjak daripada pendiriannya untuk terus berkhidmat “hingga tamat tempoh kerajaan Pakatan Rakyat” di Selangor pada tahun 2018.

Tanpa mengambil kira sentimen yang ditunjukkan oleh ahli serta pemimpin PKR serta sindiran daripada pemimpin-pemimpin  kerabat dari DAP dan PAS, Khalid bercakap soal kerusi Menteri Besar Selangor sebagai hak mutlaknya.

Ini tidak menghairankan kerana memang demikian sikap Khalid sepanjang tempoh enam tahun memerintah Selangor. Apa yang hendak dilakukannya, akan dilakukan juga meskipun banyak pihak, termasuk pimpinan parti membantah.

Ciri penting daripada gaya dan strategi kepimpinan Khalid ialah beliau mesti kelihatan tegas, berprinsip dan ada idea segar yang banyak demi meyakinkan rakyat, kawan dan lawan bahawa beliau seorang pemimpin berhemah tinggi.

Bersandarkan reputasi seorang tokoh korporat, Khalid mahu sentiasa diingati sebagai seorang yang teliti dalam membuat keputusan. Maklumlah orang korporat sentiasa bergelumang dengan angka dagang bernilai jutaan malah bilion ringgit.

Lantas segala kemungkinan dan ruang untuk melakukan kesilapan atau keputusan yang salah mestilah ditutup. Hasil yang ditunjukkan Khalid ialah, rizab Selangor meningkat hingga RM3 bilion!

Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua

Bagaimanapun taktik Khalid ini tidak sentiasa berkesan. Kini ramai ahli dan pemimpin parti mula menyedari bahawa pendekatan pengurusan Khalid sebenarnya lebih banyak bertunjangkan keperluan meraih publisiti.

Bayangkan projek paling besar Khalid iaitu untuk membersih dan mengkomersilkan Sungai Klang. Projek RM10 bilion itu digembar-gemburkan sebagai satu “keajaiban” jika dilaksanakan.

Maka beraraklah Khalid dan rombongan pegawai serta penasihatnya ke Eropah dan Singapura untuk mempelajari cara rawatan dan pengurusan Sungai yang paling berkesan.

Namun selepas enam tahun, rakyat tahu itu hanya gimik politik dan publisiti sahaja.

Begitu juga dengan isu urusan air bersih di Selangor. Sejak mula masuk pejabat Menteri Besar, Khalid mempamerkan ketegasan mahu mengambil alih hak konsesi pengurusan air daripada SYABAS, SPLASH dan juga LUAS sepenuhnya.

Demi memenangi hati rakyat,
demonstrasi besar-besaran diadakan di perkarangan Masjid Negara di Kuala Lumpur untuk menunjukkan keazaman kerajaan pimpinannya mahu mengembalikan hak urusan air kepada rakyat.

Seraya itu, projek yang hampir siap untuk menyalirkan air dari Pahang ke Selangor di ulu Langat juga ditolak oleh Khalid sebagai satu lagi projek kroni kerajaan persekutuan Barisan Nasional. Khalid mahu kelihatan tegas.

Namun apabila apa krisis bekalan air benar-benar berlaku di Lembah Kelang awal tahun ini, tanpa silu Khalid membelakangkan pandangan parti dan Pakatan Rakyat dan menandatangani perjanjian menggerakkan semula cadangan asal sistem pengurusan bekalan air di Lembah Klang.

Khalid sedang tawar-menawar untuk kekal sebagai MB

Yang jelas sebagai orang korporat satu pendekatan politik Khalid ialah “tawar-menawar”. Lazimnya, rundingan cara korporat memerlukan desakan dan gertakan tahap mengerikan. Mungkin ini yang sedang dilakukannya untuk mempertahankan kerusi Menteri Besar.

Khalid sudah menggunakan pelbagai alasan untuk menepis syor dan desakan yang mahukan beliau letak jawatan. Daripada mengulangi syarat langkah itu perlu mendapat persetujuan Pakatan Rakyat hingga perlu perkenan Sultan hinggalah soal “janjinya” dengan rakyat, Khalid masih berkeras tidak mahu berhenti.

Sebagai orang yang sudah masak dengan politik korporat, Khalid tahu bahawa apabila parti sudah membuat keputusan beliau diganti, memang beliau memang tiada pilihan kecuali akur.  
Namun mengapa Khalid masih berdegil? Apakah sebenarnya yang beliau mahu pertahankan?

Maruah? Tentu Khalid faham, akur pada perintah parti adalah cara lebih bermaruah dalam politik!
Khalid sering mendabik dada bahawa rekod perkhidmatannya bersih dan telus. Memang setakat ini tiada cemar pada integritinya. Lantas apa yang hendak digusarkannya?

Lazimnya ahli politik ramai yang lebih khuatir bahawa “kecurangan” silam dan semasa berkhidmat akan dilondehkan apabila tiada lagi dalam perkhidmatan. Jika benar tiada pekong, apa yang dikhuatirkannya?

Atau, mungkinkah Khalid menganggap perjuangannya belum selesai? Lantas beliau lebih musykil apa akan berlaku pada banyak projek pembangunan raksasanya jika beliau tidak lagi berkhidmat sebagai Menteri Besar?

Banyak projek-projek mega Khalid belum selesai

Pembangunan projek perumahan dan gedung mewah di Keramat, Kelana Jaya, Shah Alam dan Klang masih belum siap sepenuhnya. Tidakkah ada kemungkinan penggantinya nanti tidak akan membantu menyelesaikan projek-projek berkenaan?

Projek berbilion ringgit seperti I-City di Shah Alam juga belum sempurna. Kerajaan negeri sendiri sudah melabur berjuta ringgit untuk menjadikan projek Koridor Multimedia Super Kerajaan Pusat itu satu realiti.

Demi projek ini sahaja Khalid sanggup membawa barisan exconya untuk bermukim di Bangkok untuk terus “memujuk” pemaju besar yang berjaya di Thailand supaya membangunkan pusat beli terbesar di I-City

Adakah Khalid bimbang jika beliau berhenti sekarang, semua projek-projek lumayan berkenaan mungkin tergendala?

Mungkinkah beliau lebih mengutamakan “air muka” korporatnya jika gagal menepati janji untuk membantu mereka melaksanakan projek-projek mega sebegini hingga berjaya?

Maklumlah kebiasaan orang korporat mereka lebih sabar memungut laba, nama dan integriti di akhir tempoh pelaburan. Mungkinkah hasrat ini yang mendorong Khalid untuk bersikap “degil”mempertahankan kerusi Menteri Besar?

1 ulasan:

minda sabina berkata...

Sikap orang melayu bila menjawat sesuatu jawatan walaupun dikutuk dihina mereka tetap dengan muka talam asalkan aku ada kuasa ditambah sikit dengan sokongan bodoh dari kalangan yang mendapat habuan sampingan walau pun tidak secara langsung dari yang tidak sedar diri mereka dikutuk.