Sabtu, 26 Julai 2014

Sejauh Manakah Khalid Ibrahim Boleh Bertahan?

shahbudindotcom


Kedudukan Menteri Besar Selangor kini menjadi semakin panas dan menarik berikutan Khalid Ibrahim yang mahu ditukarkan daripada jawatan itu seperti tidak mahu mengalah dan berundur. Beliau dalam beberapa kenyataan yang dikeluarkan sejak kebelakangan ini memperlihatkan kecenderungan mahu terus kekal sehingga ke hujung penggal.

Sebagaimana yang dilaporkan oleh media, Khalid terlihat tidak tergugat dengan pengumuman Anwar Ibrahim bahawa beliau akan digantikan oleh Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai meneruskan Langkah Kajang yang telah dirangka sebelum itu.

Selain mengaitkan kuasa Sultan Selangor dan Undang-undang Tubuh Negeri Selangor sebagai sandaran untuk terus bertahan, sampai ke satu peringkat beliau juga mencabar agar undi tidak percaya dilakukan keatasnya. Dalam masa yang sama, media milik kerajaan Selangor juga mula membuat tinjauan yang mendapati kononnya rakyat Selangor lebih perlukan Khalid sebagai ketua kerajaan negeri berbanding calon-calon yang lain.

Tinjauan atau bancian ini untuk mempertahankan Khalid jelas tidak matang kerana rakyat sudah pun memberi mandat dalam pilihanraya lalu. Sekarang terserah kepada pimpinan PR yang telah diberikan majoriti menentukan siapa pimpinan negeri. Meninjau pendapat rakyat sudah tidak relevan lagi.

Menambahkan lagi rencah ialah apabila UMNO Selangor juga mula menyucuk jarum dengan mengeluarkan kenyataan menyokong kepimpinan Khalid untuk terus kekal sebagai Menteri Besar Selangor, walaupun kenyataan itu secara tidak langsung memperlihatkan ketandusan pemimpin di pihak UMNO sendiri dalam kemelut yang sedang berlaku ini.

Ada juga yang menyarankan agar Khalid menyertai Pas dan seterusnya menagih sokongan parti itu untuk mengekalkannya di kedudukan sekarang atau membubarkan DUN Selangor sebagai langkah terakhir "biar sama-sama putih mata."

Di pihak yang lain, selain ada yang menyarankan agar PR mengadakan undi tidak percaya keatas Khalid jika gagal memujuknya untuk berundur atau jika Sultan Selangor menolak pencalonan Dr Wan Azizah, ada juga yang memintanya agar menubuhkan parti baru bagi menguji kekuatannya.

Blog ini sendiri pernah menyarankan, jika Khalid merasa dirinya hebat dan tidak mahu akur kepada kehendak parti yang pernah meletakkannya di kedudukan tertinggi kerajaan negeri, beliau sepatutnya membubarkan DUN bagi membolehkan pilihanraya negeri dan kemudian bertanding atas tiket BN memandangkan kecenderungannya lebih kepada BN dan kerajaan Pusat sejak kebelakangan ini.

Jika beliau masih mampu menang, sama ada di DUN Pelabukan Kelang yang diduduki sekarang atau di DUN Ijok yang pernah dimenanginya dalam pilihanraya 2008, barulah beliau seorang pemimpin yang hebat dan benar-benar diterima rakyat Selangor.

Tetapi sehingga ini nampaknya bukan itu pilihan Khalid. Beliau hanya mahu kekal sebagai Menteri Besar berdasarkan keyakinannya bahawa undang-undang negeri memihak kepadanya dan Menteri Besar tidak boleh ditukar sesuka hati. Penyokongnya pula percaya Sultan Selangor akan terus mempertahankannya dan menolak sebarang pertukaran yang dicadangkan oleh PR.

Sehingga ini, nama Dr Wan Azizah sebagai pengganti Khalid sudah pun dicadangkan kepada mesyuarat Majlis Pimpinan PR dan hanya menunggu persetujuan rasmi daripada Pas dan DAP yang dijangka akan diketahui selepas Aidilfitri ini. Namun sehingga keputusan itu diketahui, perdebatan mengenainya akan terus hangat.

Persoalan yang paling menarik ialah sejauh manakah Khalid boleh terus bertahan? Apakah beliau mampu bertahan jika ditakdirkan Pas dan DAP juga sebulat suara untuk bersama-sama dengan PKR mahu menolaknya dan menggantikan dengan Dr Wan Azizah?

Pendirian Haji Hadi yang mempertahankan Khalid lebih merupakan pendapat peribadi dan belum lagi merupakan pendirian rasmi Pas. Mungkin Haji Hadi sekadar ingin meredakan suasana yang mula berpecah-pecah dalam parti itu sehingga mesyuarat rasmi diadakan selepas Hari Raya nanti.

Ini kerana selain PKR yang sudah sebulat suara mahu menukar Khalid, DAP juga dilaporkan berpendirian sama. Mampukah Haji Hadi terus mempertahankan pendiriannya mengenai Khalid sedangkan kebersamaan dalam agenda yang lebih besar di peringkat pusat terus menjadi pegangan?

Apakah pula pilihan Khalid ketika itu nanti? Akur dengan pertukaran atau akan menentangnya? Atau mungkinkah beliau memilih untuk membubarkan DUN bagi membolehkan pilihanraya negeri diadakan?

Apa pun pilihannya, semuanya terletak di tangan Khalid. Sebagaimana Anwar, PKR dan PR boleh mencadangkan pertukarannya, Khalid juga boleh memilih untuk menjadi degil dan keras hati.

Tetapi jika berdegil menjadi pilihannya, orang akan beransur-ansur meluat dengannya. Sekarang pun sudah ramai yang menyampah dengan Khalid melalui lenggok politik yang ditunjukkannya. Khalid mulai ditakrif sebagai tamak, tidak menghormati parti serta tidak faham hukum dalam berpolitik. Bila zamannya berakhir nanti, bukan saja rakan-rakan dalam PR tidak lagi menghormatinya, UMNO yang sekarang menyokongnya juga tidak memperdulikannya lagi.

Tiada ulasan: