Khamis, 31 Julai 2014

Rakyat minta kerajaan jangan sisih golongan gelandangan [TONTON VIDEO]

 Oleh Shuhaniza Said

 
Post Pic



SHAH ALAM: Rakyat Malaysia memang tidak boleh dipisahkan dengan sifat prihatin dan peri kemanusiaan yang tinggi.
Lihat saja di mana ada peminta sedekah, apatah lagi yang mengendong anak kecil sambil menadah tangan, pasti hati kecil cepat merasa simpati lantas terus menghulur wang buat meringankan beban golongan itu.
 
Justeru, langkah kerajaan yang mahu mengetatkan undang-undang berkaitan gelandangan dan pemberi sedekah, mengundang rasa kurang senang segelintir masyarakat di negara ini.
 
Pada pendapat mereka, kerajaan secara tidak langsung menghalang golongan penderma untuk melakukan kebaikan, selain menganggap undang-undang baru itu sebagai 'kejam' dan tidak sesuai.
 
Seorang peniaga, Mariam Kortubi langsung tidak bersetuju dengan cadangan tersebut. Katanya, golongan peminta sedekah atau gelandangan ini sangat memerlukan sokongan moral daripada masyarakat sekeliling.       
 
"Kita tak tahu latar belakang mereka macam mana, kisah mereka macam mana. Memang tak setuju kalau pemberi sedekah disaman," katanya.
 
Shahmi Sazali, seorang pekerja swasta pula mencadangkan golongan gelandangan ini diletakkan di satu pusat jagaan khas yang dilengkapi dengan kursus kemahiran tertentu.
Ini katanya secara tidak langsung golongan gelandangan mampu melakukan sesuatu yang berfaedah.    
 
"Sepatutnya kalau mereka benar-benar susah, kita kena tolong. Kalau mereka ada kemampuan atau kemahiran, ambil mereka dan letak di satu tempat di mana kemahiran mereka boleh diguna untuk menghasilkan sesuatu yang bagus," ujarnya.
 
Manakala seorang suri rumah, Azihan Sufian Arifin pula amat bersetuju dengan langkah kerajaan membina satu penempatan khas bagi golongan ini.
 
Selain memulihkan imej kota raya, ia memudahkan mana-mana pemberi sedekah atau pemberi makanan untuk datang dan menghulurkan bantuan di satu tempat saja.   
 
"Bagi saya, sediakan satu tempat yang betul-betul menjadi pusat untuk memberi makan kepada mereka. Jadi mana-mana yang nak menolong atau memberi derma boleh ke pusat itu sahaja," ujar wanita berusia 33 tahun ini. 
 
Namun tidak kurang juga, ada yang melihat langkah kerajaan yang mahu mengetatkan undang-undang dan mendenda pemberi sedekah atau makanan, sebagai tindakan yang wajar bagi mengelakkan lebih ramai peminta sedekah berkeliaran di kota raya.  
 
"kalau kita asyik memberi kepada mereka, mereka ada yang mengambil kesempatan untuk malas bekerja. Saya tengok ada antara mereka yang sihat pun ambil makanan sedangkan tenaga kuat lagi. Saya galakkan usaha kerajaan itu," ujarnya. 
 
Selain Hasnah, seorang peniaga yang dikenali sebagai Fariz Bashar juga melahirkan pendapat yang sama. Malah katanya, ada di antara golongan gelandangan atau peminta sedekah hanya berpura-pura bagi mendapatkan simpati.
 
Saran Fariz, masyarakat perlu tahu membezakan peminta sedekah yang benar-benar memerlukan dengan yang palsu sebelum menghulurkan wang sedekah. 
 
"Kebanyakan mereka yang minta sedekah ini tipu. Sebab kami ini peniaga kami sedar tapi kami buat tak tahu saja. Kita kena memilih, kena tahu mana yang memerlukan dan mana yang tidak memerlukan.
 
"Malaysia saja yang bermurah hati. Kita paling kurang akan beri RM1... jumlah itu besar sebenarnya," ujar Fariz.
 
Terdahulu, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menjelaskan langkah itu diambil bagi membersihkan kawasan bandaraya daripada peminta sedekah terutamanya di pusat beli-belah Lot 10 dan Pavilion.
 
Kata Tengku Adnan, kementeriannya juga akan memperketat undang-undang bagi mengatasi masalah ini, seterusnya merangka prosedur operasi standard (SOP) bagi tujuan itu.
 
Dalam pada itu, kementerian berkenaan turut membenarkan pemberi makanan meneruskan pemberian makanan di kawasan ibukota selepas Aidilfitri, iaitu sehingga tarikh penguatkuasaan baru pada 16 Ogos 2014 dan satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan untuk memperincikan proses pengedaran makanan.
 

Tiada ulasan: