Ahad, 27 Julai 2014

Balik kampung naik 'kapcai' elak kesesakan

MALAYSIAKINI


 


Walaupun banyak pengangkutan awam disediakan, segelintir golongan muda memilih untuk pulang ke kampung halaman menyambut Aidilfitri menunggang 'kapcai' atau motosikal berkuasa rendah.

Menurut mereka selain menjimatkan kos, menunggang beramai-ramai atau berkonvoi ke kampung halaman juga dapat mempererat silaturrahim sesama mereka.

Pekerja swasta, Mohd Syahrul Hafizan Wahid, 25, berkata berkonvoi 15 hingga 20 buah kapcai untuk pulang beraya sudah dilakukannya sejak tiga tahun lepas.

"Bukan tak nak guna pengangkutan awam, tapi kadang-kadang bila pergi ke terminal bas atau stesen kereta api, tiket telah habis dijual walaupun Ramadan belum menjengah.

"Justeru, saya berpakat dengan beberapa rakan untuk pulang ke kampung halaman menaiki motosikal walaupun terpaksa menunggang lebih 300 kilometer," katanya kepada Bernama.

Mohd Syahrul yang berasal dari Rancangan Pembangunan Tanah (RPT) Kesedar Sungai Terah, Gua Musang, Kelantan, berkata banyak kelebihan menaiki motosikal berbanding menggunakan kereta untuk pulang ke kampung halaman.

"Antaranya dapat mengelak kesesakan lalu lintas yang sering berlaku terutama dua hari menjelang lebaran kerana ramai yang akan pulang ke kampung halaman ketika itu.

"Kadang-kadang kasihan bila mendengar sanak-saudara terperangkap dalam kesesakan sehingga berbelas jam kerana tiada lebuh raya yang menghubungkan Pahang dan Kelantan," katanya.

Rakannya, Mohd Akirul Abdullah, 24, dari Felda Paloh 3, Gua Musang, berkata sebelum memulakan perjalanan, motosikal perlu diselenggara agar kenderaan itu berada dalam keadaan baik.

Katanya antara perkara penting ialah menukar minyak hitam selain brek dan tayar pula dipastikan dalam keadaan baik.

"Ketika pulang, peralatan membaiki motosikal seperti sepana dan tiub tayar juga mesti dibawa sebagai persediaan jika tayar motosikal pancit selain memastikan ada antara anggota konvoi yang pandai baiki motosikal," katanya.- Bernama

Tiada ulasan: