Selasa, 29 Julai 2014

MAS berdepan masalah pembatalan tempahan penerbangan, lapor Bloomberg

THE MALAYSIAN INSIDER


Bloomberg melaporkan MAS kini berdepan dengan pembatalan tiket oleh penumpang serata dunia. – Gambar fail The Malaysian Insider.
Bloomberg melaporkan MAS kini berdepan dengan pembatalan tiket oleh penumpang serata dunia. – Gambar fail The Malaysian Insider.


Malaysia Airlines (MAS) berdepan dengan masalah pembatalan penerbangan selepas kehilangan dua pesawatnya dalam tahun ini, lapor Bloomberg hari ini.

 Pesawat MH370 dalam perjalanan daripada Kuala Lumpur ke Beijing hilang pada 8 Mac lalu, manakala MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine ketika dalam perjalanan daripada Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai lalu.

Jumlah mangsa yang terkorban dalam dua tragedi itu adalah 537 orang. Portal berita kewangan itu juga memetik kenyataan agen pelancongan daripada Melbourne ke New Delhi yang mendedahkan pembatalan tiket penerbangan meningkat 20% di beberapa tempat sejak insiden MH17.

Katanya, pasukan ragbi wanita Samoa juga menukar penerbangan mereka daripada MAS kepada Thai Airways pada 27 Julai lalu untuk menyertai acara Piala Dunia di Perancis.

"Sudah tentu kami berasa bimbang. Banyak perkara yang perlu dipertimbangkan," kata pengurus pasukan Sera Mika.

Pembatalan itu mungkin memaksa pemegang saham terbesar MAS, Khazanah Nasional Bhd mengambil tindakan drastik ekoran industri penerbangan itu bakal mencatatkan rekod kejatuhan. Antara pilihan yang ada adalah mengisytiharkan bankrap atau keluar daripada senarai saham.

MAS mencatatkan kerugian RM443.4 juta pada suku tahun pertama berbanding RM278.8 juta dalam tempoh sama tahun lalu. Jumlah kerugian pada tahun 2013 adalah RM1.17 bilion.

Agen pelancongan Ann Chitumbalam memberitahu Bloomberg bahawa penumpang "sangat takut jika kejadian sama kembali berulang". Firma miliknya, Escape Travel Sdn Bhd yang terletak di Petaling Jaya menunjukkan 30% tiket penerbangan MAS dibatalkan. "(Pelancong) enggan ambil risiko," katanya.

Dua hari selepas insiden MH17, MAS berkata pihaknya tidak akan mengenakan bayaran denda kepada penumpang yang mahu menukar jadual ke mana-mana sahaja destinasi penerbangan.

 "Penumpang yang mahu menangguhkan atau membatalkan rancangannya boleh ambil semula wang mereka termasuk tiket yang tidak boleh dikembalikan semula," kata MAS. Tawaran itu sah pada 18 hingga 24 Julai, bagi penerbangan 18 Julai sehingga 31 Disember.

 Bloomberg berkata, MAS setakat ini enggan mengulas tentang trafik penumpang atau jumlah pembatalan dan dasar penentuan harga.

 Webjet Ltd di Melbourne menganggarkan 25% tempahan tiket penerbangan dibatalkan sejak tragedi MH17, kata laporan itu. Agen pelancongan secara online di New Delhi, Yatra.com turut melaporkan kejatuhan tempahan dan pembatalan tiket penerbangan.

"Mereka terpaksa menanggung kos kerugian," kata penganalisis TA Securities, Tan Kam Meng kepada Bloomberg di Kuala Lumpur sambil menambah pemotongan tambang “bukan jalan penyelesaiannya”.

Tiada ulasan: