Selasa, 29 Julai 2014

Ahli Bocor Rahsia, PAS Tak Mahu Bertanggungjawab - Dzulkefly

Dzulkefly Ahmad.

 
 
PETALING JAYA: PAS enggan bertanggungjawab terhadap kenyataan kontroversi ahlinya yang dibocorkan menerusi media sosial berhubung cadangan supaya parti itu keluar daripada Pakatan Rakyat (PR).

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, parti itu tidak seharusnya dipersalahkan terhadap mana-mana pandangan peribadi ahlinya kerana ia tidak mencerminkan pendirian sebenar mereka.

"PAS sebagai sebuah parti politik lslam yang berjiwa besar meraikan perbezaan pandangan...tidak boleh dipertanggungjawabkan terhadap sebarang kenyataan serta analisis peribadi ahli-ahlinya seandainya menimbulkan kontroversi dan kegusaran umum," katanya pada Selasa.

Beliau mengulas mengenai kekecohan yang berlaku berhubung pendapat Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS Pusat (PPP), Dr Mohd Zuhdi Marzuki yang mempertimbangkan supaya PAS keluar PR.

Isu berkenaan timbul selepas satu paparan skrin aplikasi WhatsApp perbincangan AJK PAS Pusat dibocorkan dan menjadi viral di laman sosial.

Mengulas lanjut, Dzulkefly yang juga merupakan Pengarah Eksekutif PPP berkata, pendapat yang dikemukakan Mohd Zuhdi merupakan pandangan peribadi yang bersifat tidak formal.

"Secara tegasnya, olahan perancangan senario Dr Zuhdi tidak mewakili pendirian PAS dan tidak pula mewakili dapatan PPP," katanya.

Bagaimanapun, tambah Dzulkefly, perbincangan secara tidak formal mengenai isu kontroversi seperti ini oleh AJK PAS Pusat menerusi WhatsApp bukanlah sesuatu yang baharu.

"Dalam konteks kontroversi perbincangan dalam kumpulan WhatsApp AJK PAS Pusat berhubung kajian ini, saya ingin jelaskan bahawa senario yang tersebar luas melalui paparan skrin tersebut bukanlah satu-satunya senario yang dibincangkan dengan kaedah perancangan senario beliau (Mohd Zuhdi).

"Pelbagai senario lain yang merangkumi kemungkinan, termasuk situasi paling buruk juga dibincangkan secara sumbang saran," katanya.

Tiada ulasan: