Ahad, 27 Julai 2014

PAS nafi Majlis Pimpinan Pakatan setuju Khalid diganti

 Oleh Syed Mu'az Syed Putra

 
Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR:  PAS menafikan ia memberi persetujuan kepada cadangan PKR untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai yang didakwa oleh ketua umum parti itu Datuk Seri Anwar Ibrahim Rabu lalu. 
 
Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata PAS dan DAP hanya bersetuju untuk merujuk cadangan Anwar itu kepada pucuk pimpinan parti masing-masing dan tidak lebih daripada itu. 
 
Komponen Pakatan Rakyat sepakat dan mencapai keputusan rasmi dalam mesyuarat Majlis Pimpinan perikatan pada Rabu lalu dalam polemik pertukaran Menteri Besar Selangor seperti mana didakwa PKR.
 
Sebaliknya Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan PKR hanya menyatakan hasrat atau cadangan rasmi mengenai pertukaran Menteri Besar Selangor dalam mesyuarat itu. 
 
" Kita menerima laporan dan hasrat PKR sahaja. Hasrat itu disampaikan dalam mesyuarat Pakatan dan parti (PAS) akan bawa hasrat itu ke majlis pimpinan,  bukan (kita) terima  dan tukar (Khalid).
 
"Kita terima keputusan mesyuarat PKR, mereka maklumkan (kepada kita) sebab PKR tak pernah maklumkan secara rasmi kepada Pakatan Rakyat," kata beliau kepada Antarapos. 
 
"Jadi itu makluman rasmi dan semua parti kena bawa dalam mesyuarat pimpinan masing-masing," tambah Tuan Ibrahim yang menghadiri mesyuarat itu dengan lima lagi pemimpin kanan PAS termasuk timbalan presiden Mohamad Sabu. 
 
Selepas mesyuarat tiga jam itu, Anwar mengeluarkan kenyataan yang mendakwa PAS dan DAP menghormati jawatan MB Selangor adalah hak PKR.
 
Kenyataan Anwar itu ditafsirkan sebagai kedua-dua parti itu bersetuju akur kepada hak PKR untuk mencalonkan presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggantikan Khalid sebagai MB Selangor. 
 
Semalam, Setiausaha Agong PKR Datuk Saifuddin Nasution turut menggunakan tafsiran itu apabila mendesak PAS menghormati mekanisme Pakatan Rakyat dalam memilih pemimpin di negeri yang dikuasai gabungan pembangkang itu. 
 
"Mesyuarat itu membawa mandat dari parti masing-masing pada hari itu (23 Julai) mengesahkan komitmen setiap parti bahawa pada dasarnya, PAS dan DAP menghormati prinsip pencalonan jawatan menteri besar adalah dari PKR," kata Saifuddin. 
 
"Oleh yang demikian, PKR akan berpegang kepada keputusan rasmi Majlis Pimpinan PR itu dalam hal pertukaran Menteri Besar Selangor," katanya.
 
Tuan Ibrahim bagaimanapun menolak versi Saifuddin mengenai perjalanan mesyuarat PR itu dan menegaskan PAS tidak pernah membuat keputusan akur kepada hasrat PKR menggantikan Khalid. 
 
"Tidak, kita tidak buat keputusan baru-baru ini...semua parti tidak buat keputusan," kata beliau. 
 
"Cuma parti bersetuju bawa cadangan PKR itu dalam mesyuarat parti, jadi parti ada hak dan kita tak buat keputusan dalam mesyuarat (Pakatan) itu," katanya.
 
Beliau berkata PKR patut lebih memahami perkara itu dan bukan membuat keputusan sendiri.
 
"Saya rasa perkara itu jelas, ia bukan keputusan...kalau keputusan apa penting bawa ke peringkat parti?Kalau dah itu keputusan, jadi tiada kepentingan kita bawa kepada parti...semua sepakat nak bawa kepada parti masing-masing, maknanya tiada keputusan." katanya.
 
Dua hari lalu Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempertahankan  Khalid untuk kekal sebagai Menteri Besar Selangor kerana menurut beliau, Khalid  tidak terpalit dengan skandal atau rasuah. 
 
Kenyataan itu disokong oleh Murshidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat hari ini yang menggesa semua ahli PAS memberikan sokongan kepada Hadi dalam isu itu. 
 
Jawatankuasa PAS Pusat akan bermesyuarat pada 10 Ogos untuk membuat keputusan muktamat berhubung jawatan Menteri Besar Selangor. 
 
Tanpa sokongan PAS, laluan PKR semakin sukar mendapatkkan perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk Wan Azizah menggantikan Khalid. 
 
PKR mempunyai 14 kerusi dalam DUN Selangor berbanding PAS dan DAP masing-masing 15 dan Barisan Nasional 12. 
 
Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang lagi, berharap PKR tidak mensensasikan lagi polemik itu .
 
"Saya rasa PKR salah faham, saya tak nak komen tentang itu cuma pandangan PAS-DAP sama iaitu kita akan bawa ke mesyuarat masing-masing.
 
"Itu yang parti akan bawa dalam mesyuarat Pakatan Rakyat nanti," katanya.

Tiada ulasan: